suria

29 Kes Campak Direkodkan Sejak Januari Lalu

Gambar hiasan.

PUTRAJAYA: Sebanyak 73 kes disahkan demam campak direkodkan di Kuala Lumpur bagi tempoh Januari hingga 30 Jun lalu membabitkan kalangan bayi berumur sebulan sehingga orang dewasa 43 tahun.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata 79 peratus daripada kes itu didapati tidak mendapatkan suntikan vaksin campak.

"Peratusan tinggi kes tiada suntikan adalah membimbangkan dan sehubungan itu kementerian menggesa ibu bapa membawa anak-anak mereka ke mana-mana klinik terdekat untuk mendapatkan suntikan vaksin campak," katanya dalam satu kenyataan di sini Rabu.

Dr Noor Hisham berkata program eliminasi campak dijalankan sebagai langkah mengawal penyakit itu dan ia diberi sebanyak dua dos kepada kanak-kanak berumur 12 bulan hingga tujuh tahun di bawah Jadual Imunisasi Kanak-Kanak Kebangsaan.

"Liputan imunisasi yang melebihi 95 peratus akan memastikan imuniti kelompok kekal tinggi bagi mengekang penularan jangkitan campak dalam masyarakat," katanya.

Menyentuh penyakit cacar air pula, Dr Noor Hisham berkata sebanyak lima kluster dilaporkan di Kuala Lumpur membabitkan taska, tabika dan depot tahanan iaitu di antara bulan Mac hingga Jun lalu.

Beliau berkata penyakit cacar air tidak termasuk di dalam program eliminasi dan apabila berlaku semua kes akan dirawat.

"Orang ramai dinasihati agar mendapatkan pemeriksaan lanjut serta rawatan sekiranya mengalami gejala demam dan ruam, manakala ibu bapa diminta tidak menghantar anak-anak ke pusat asuhan atau sekolah bagi mengelak penularan," katanya.

Artikel Lain