suria

Bertindak Cepat Selesai Isu Semasa - Tun Abdullah

BANGI: Bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi meletakkan harapan barisan kabinet baharu dapat bertindak cepat dalam menyelesaikan isu-isu semasa.

Beliau berkata rakyat menanti perubahan dan kebaikan yang akan dilaksanakan barisan kabinet baharu itu.

"Kalau tunggu-tunggu akan membawa lebih banyak kesusahan. Tindakan cepat itu yang mesti dibuat segera, untuk membawa apa jua kebaikan sebagai kesan daripada rombakan," katanya ketika diminta mengulas harapan beliau terhadap barisan kabinet baharu.

Dalam masa sama, Abdullah berharap barisan kabinet baharu yang menyaksikan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri yang baharu, diberi peluang untuk melaksanakan apa yang dirancang.

"Bukan satu perkara yang senang tapi saya harap mereka akan berusaha bersungguh-sungguh supaya apa yang mereka rancang akan membawa kejayaan," katanya kepada media selepas perasmian Persidangan Kebangsaan Ekonomi dan Kewangan Islam 2015 di Institut Latihan Islam Malaysia di sini, Rabu.

Dalam rombakan kabinet yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semalam, Najib menamakan Ahmad Zahid sebagai timbalannya bagi menggantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang digugurkan dalam barisan kabinetnya.

Rombakan kabinet itu melibatkan pelantikan tujuh menteri baharu, lima menteri digugurkan dan beberapa pertukaran portfolio.

Diminta mengulas pengaturan masa rombakan tersebut yang dilakukan ketika siasatan terhadap 1Malaysia Development Bhd (1MDB) sedang berjalan, Abdullah berkata andaian tersebut tidak boleh dibuat sebegitu mudah.

"Beri mereka (barisan Kabinet) peluang untuk menyelesaikan. Kalau tak boleh jugak.. itu susahlah tu," katanya.

Mengulas pengguguran Muhyiddin daripada barisan kabinet, Abdullah berkata: "Itu adalah keputusan yang tentu sekali PM sendiri ambil tindakan. Tentu ada tindakan yang perlu dilaksanakan beliau sendiri."

Dalam masa sama, Abdullah berkata Ahmad Zahid perlu diberi peluang  untuk menggalas tanggungjawabnya.

Ditanya mengenai penamatan perkhidmatan tugas Tan Sri Abdul Gani Patail sebagai Peguam Negara berkuat kuasa 27 Julai, Abdullah berkata: "Itu mengejutkan jugaklah apa yang berlaku."

Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa dalam satu kenyatan semalam mengumumkan perkhidmatan Abdul Gani sebagai Peguam Negara ditamatkan mulai 27 Julai atas sebab-sebab kesihatan.

Kabinet, Tun Abdullah

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain