suria

Shahrir Pertikai Niat The Edge Tak Serah Dokumen 1MDB Kepada Pihak Berkuasa

JOHOR BARU: Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Barisan Nasional (BNBCC) Tan Sri Shahrir Abd Samad mempertikaikan niat sebenar akhbar The Edge apabila tidak menyerahkan dokumen dakwaan penyelewengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) kepada pihak berkuasa setelah memperolehnya daripada bekas eksekutif Petrosaudi International, Xavier Andre Justo.

Shahrir berkata tindakan itu membayangkan akhbar berkenaan hanya ingin melariskan jualan dengan menerbitkan berita sensasi tanpa perlu mencari kebenaran.

"Pada masa sama, kita soal adakah ia bertujuan untuk menumbangkan kerajaan atau (mencetuskan) huru-hara sedang akhirnya pihak berkuasa juga yang akan memainkan peranan (dalam kes ini).

Jadi, dapatkan dokumen, menipu orang dan kemudian menyiarkan melalui tafsiran sendiri, ia tidak akan mempunyai keputusan. Ia menimbulkan syak wasangka dan huru-hara dan sebagainya kerana kita tidak mahu menggunakan sistem yang ada iaitu institusi dalam negara ini," katanya media ketika Rumah Terbuka Aidilfitri Parlimen Johor Baharu, di sini, Sabtu.

Anggota Parlimen Johor Baharu itu berkata, sebagai media yang bertanggungjawab, The Edge harus mengenepikan perasaan untuk mencari berita sensasi sebaliknya menyerahkan dokumen terbabit kepada pihak polis untuk siasatan lanjut.

"Kita faham kebebasan akhbar tetapi kebebasan akhbar pun ada tanggungjawab.

Ia tidak bermakna sesebuah akhbar bebas mendedahkan apa sahaja untuk suruh orang memberontak, mesti ada proses undang-undang.

Sebab itu, apabila kita mendapat sesuatu maklumat yang rasa sahih, kita kena rujuk kepada pihak berkuasa."

Mengenai Gerakan Harapan Baru (GHB), beliau menyifatkan ia hanya parti untuk 'golongan yang kecewa' dalam parti asal mereka dan bukanlah sebuah harapan baharu.--Bernama 


1MDB, The Edge, Shahrir Samad

Artikel Lain