suria

Biar Polis Dapatkan Maklumat Daripada Justo, Kata Nancy

Xavier Andre Justo

KUCHING: Polis merupakan pihak berkuasa untuk mendapatkan maklumat daripada bekas pekerja PetroSaudi International Xavier Andre Justo yang kini ditahan di Thailand, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Nancy Shukri.

Beliau berkata, biar polis menjalankan tugas itu walaupun Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar tidak dapat bertemu warganegara Switzerland itu di Bangkok beberapa hari lepas bagi mendapatkan maklumat berkaitan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Bercakap kepada pemberita pada majlis rumah terbuka Aidilfitri beliau di Bangunan Dewan Undangan Negeri di sini, Sabtu, beliau percaya Khalid tidak dapat bertemu Justo kerana polis Thailand masih menjalankan siasatan.

"Jika kita masuk campur, ini mungkin boleh menjejaskan seluruh proses kerana ia melibatkan pengumpulan bukti dan memfailkan tindakan undang-undang.

"Ini merupakan proses biasa di mana-mana negara berdaulat dan siasatan tidak dijalankan secara lewa," katanya.

Beliau berkata, mungkin apabila polis Thailand sudah menyelesaikan siasatan mereka, mereka akan membantu Malaysia.

Nancy berkata, orang ramai tidak sepatutnya menyifatkan kegagalan Khalid untuk bertemu Justo sengaja dilakukan.

"Ada orang yang mungkin tidak faham atau tahu tentang prosedur ini. Mereka mula meragui keupayaan kerajaan dan membuat komen negatif," katanya.

Polis, katanya perlu diberikan kebebasan untuk menjalankan siasatan mereka.

Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Abdul Taib Mahmud dan isteri Toh Puan Ragad Kurdi Taib antara tetamu pada majlis rumah terbuka itu.-- Bernama

Nancy Shukri, Justo

Artikel Lain