suria

Peniaga Ditembak Mati Di Pasar Selayang

KUALA LUMPUR: Seorang penjual sayur ditembak mati berhampiran pasar Pusat Bandar Utara di Selayang di sini, sebaik sahaja dia selesai memunggah barangan dari lori.

Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner R. Munusamy berkata, orang awam menghubungi polis memaklumkan kejadian itu kira-kira pukul 11.40 hari Jumaat. Satu pasukan penyiasat kemudiannya dihantar ke tempat kejadian.

"Peniaga berusia 57 tahun itu baru sahaja selesai memunggah barangan dari lori apabila dua lelaki yang menunggang motosikal menembaknya dari belakang.

"Kejadian itu berlaku di hadapan sebuah restoran di Jalan 2/3A, Pusat Bandar Utara. Isterinya bergegas membawanya ke Hospital Selayang untuk rawatan, tetapi dia disahkan meninggal dunia sebaik sahaja tiba di sana," katanya.

Munusamy berkata dua kesan peluru dapat dilihat di bawah ketiak kanan mangsa dan pada perutnya.

"Seorang saksi melihat kedua-dua suspek melarikan diri dari tempat kejadian selepas menembak mangsa. Seorang suspek dilihat memakai jaket hitam.

"Pasukan forensik polis menemui dua sarung peluru dari tempat kejadian," katanya.

Mangsa telah dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk bedah siasat.

Kes ini telah diklasifikasikan sebagai kes bunuh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
R. Munusamy, penjual sayur

Artikel Lain