suria

Kereta Terbabas Ke Laluan Bertentangan, Dua Penunggang Motosikal Maut

GELANG PATAH: Dua penunggang motosikal meninggal dunia di tempat kejadian manakala dua lagi cedera apabila tiga motosikal berlanggar dengan sebuah kereta di jalan Johor Baru-Gelang Patah di sini.

Pemangku Timbalan Ketua Polis Daerah Nusajaya Superintendan Ismail Dollah berkata kemalangan berlaku berhampiran stesen minyak Petronas di KM18 jalan Johor Baru-Gelang Patah kira-kira pukul 4.15 petang Jumaat.

"Siasatan awal menunjukkan bahawa pemandu kereta hilang kawalan kenderaannya dan terbabas ke laluan bertentangan.

"Ketiga-tiga motosikal yang berada di laluan bertentangan menuju ke Gelang Patah dari Skudai, kemudian berlanggar dengan kereta itu, mengakibatkan dua kematian serta-merta," katanya dalam satu kenyataan di sini.

Tambahnya, mayat kedua-dua mangsa yang dikenali sebagai Lim Wee Kiat, 25, dan Gabriel Andrew Bateman, 54, dihantar ke Hospital Sultanah Aminah untuk bedah siasat.

Mereka yang cedera ialah pemandu kereta dan penunggang motosikal ketiga.

"Dua lagi cedera dalam kemalangan tersebut juga telah dihantar ke hospital yang sama untuk rawatan," katanya sambil menambah kes itu diklasifikasikan di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu melulu.
kereta terbabas

Artikel Berikut

Artikel Lain