suria

Singapura Nafi Tidak Benarkan Operasi Pembenihan Awan

- Gambar fail THE STAR
JOHOR BAHARU: Singapura menyangkal dakwaan ia tidak membenarkan operasi pembenihan awan dilakukan di ruang udara empangan Sungai Lebam dan Layang di Johor.

Sebaliknya, kata republik itu, Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Singapura (CAAS) sentiasa bekerjasama dengan Jabatan Penerbangan Awam Malaysia (DCA) bagi mempermudah kegiatan penerbangan, termasuak untuk operasi pembenihan awan.

Konsulat Jenderal Singapura di Johor Baharu, dalam kenyataan di sini pada Jumaat, berkata Singapura tidak dihubungi baru-baru ini berhubung operasi pembenihan awan, sama ada oleh DCA atau mana-mana agensi lain dari Malaysia.

"Singapura menyokong penuh usaha melakukan pembenihan awan di Johor, terutama pada musim kering, dan sebelum ini menawarkan diri untuk membantu usaha memadam kebakaran hutan," katanya.

Katanya, agensi air Singapura, PUB, juga bekerjasama rapat dengan rakan sejawatanya dari Malaysia, termasuk Johor.

Kenyataan itu menyebut kedua-dua pihak juga bekerjasama rapat dalam melakasanakan pelbagai projek, termasuk Bendungan Sungai Johor bagi menambah sumber air di Johor.

Katanya, dakwaan bahawa Singapura enggan membenarkan operasi pembenihan awan dilakukan kerana kegiatan itu dianggap menceroboh wilayah Singapura adalah tidak berasas.

Singapura menyatakan demikian bagi mengulas satu laporan berita semalam yang memetik Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Johor, Datuk Hasni Mohammad sebagai berkata Johor perlu mencari jalan lain berikutan keengganan Singapura memberi kebenaran untuk melakukan operasi pembenihan itu.

Paras air di dua empangan tersebut, yang membekalkan air kepada kira-kira 760,000 pengguna, kini mencapai tahap kritikal.

Paras air di empangan Sungai Lebam menurun kepada 9.87m daripada 12.27m, manakala di empangan Layang merosot kepada 19.72m daripada 23.50m.

Sekiranya paras air di dua empangan itu tidak meningkat beberapa minggu lagi, SAJ Holdings Sdn Bhd., mungkin perlu mula menjadualkan semula bekalan air, kata laporan itu.

pembenihan awan, CAAS, DCA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain