suria

UNHCR Terima Pakai Resolusi OIC Mengenai Rohingya

KUALA LUMPUR: Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNHCR) pada Jumaat menerima pakai resolusi cadangan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) mengenai Myanmar bertajuk "Keadaaan hak asasi manusia umat Islam dan minoriti lain di Myanmar".

Resolusi yang diterima pakai tanpa pengundian itu mencerminkan sokongan padu yang diberi terhadap kandungannya oleh masyarakat antarabangsa, terutama negara anggota Majlis Hak Asasi Manusia, kata pertubuhan berpejabat di Jeddah itu dalam kenyataannya.

"Resolusi itu, yang dicadangkan Pakistan bagi pihak OIC, mengutuk pencabulan hak asasi manusia secara meluas dan sistematik serta penderaan yang dilakukan di negeri Rakhine, khususnya terhadap umat Islam Rohingya; dan menyeru kerajaan Myanmar memastikan hak asai manusia semua penduduk Myanmar, termasuk umat Islam Rohingya, diberi perlindungan," katanya.

OIC berkata, resolusi itu juga menggesa Myanmar melaksanakan langkah perlu bagi menangani penindasan dan prejudis secara berleluasa terhadap umat Islam dan anggota nasional, etnik, agama dan linguistik minoriti di seluruh negara itu serta menghentikan perbuatan meniupkan api kebencian terhadap umat Islam dengan mengutuk perbuatan itu secara terbuka.

Resolusi itu seterusnya menyeru kerajaan Myanmar mengambil langkah perlu bagi menamatkan semua bentuk pencabulan terhadap hak asasi manusia, termasuk terhadap umat Islam, dengan menjalankan penyiasatan penuh, telus dan bebas terhadap laporan mengenai pencabulan terhadap golongan tertentu.

Ia juga menggesa kerajaan Myanmar mengambil semua langkah perlu bagi mencegah penindasan dan eksploitasi, termasuk pemerdagangan umat Islam Rohingya dan golongan lain, dengan menangani puncanya.

Resolusi itu turut meminta kerajaan Myanmar memastikan semua pelarian yang terusir dari kampung halaman mereka, termasuk umat Islam, dapat kembali dengan selamat, sejajar dengan undang-undang antarabangsa.

Ia juga menggesa kerajaan Myanmar memberi hak penuh kewarganegaraan kepada umat Islam Rohingya di negeri Rakhine, termasuk mengkaji semula Undang- Undang Kewarganegaraan 1982. 

Resolusi itu seterusnya menyeru Myanmar memastikan wujudnya kerjasama penuh dengan semua pihak dan memberi laluan penuh kepada bantuan kemanusiaan untuk sampai kepada penduduk dan masyarakat terjejas.

Suhubungan itu, OIC mahu kerajaan Myanmar melaksanakan pelbagai perjanjian kerjasama yang belum ditunaikan antara pihak berkuasa Myanmar dan masyarakat antarabangsa mengenai pengagihan bantuan kemanusiaan di semua kawasan terjejas, termasuk negeri Rakhine, tanpa sebarang diskriminasi.

Pertubuhan 57 angota itu berharap Myanmar akan menmgambil langkah perlu bagi melaksanakan resolusi tersebut serta meringankan penderitaan yang ditanggung masyarakat Rohingya sejak sekian lama, yang disifatkan PBB sebagai minoriti dizalimi paling dahsyat di dunia.

UNHCR, Rohingya

Artikel Lain