suria

1.6 Juta Kenderaan Guna Lebuhraya Utara-Selatan Hari Puncak Aidilfitri

PETALING JAYA: PLUS Malaysia Berhad (PLUS) menjangkakan sebanyak 1.6 juta kenderaan akan menggunakan Lebuhraya Utara-Selatan setiap hari pada hari puncak sempena cuti perayaan Aidilfitri.

Pengarah Urusannya, Datuk Noorizah Abd Hamid berkata, jumlah tersebut merupakan peningkatan sebanyak 20 peratus berbanding 1.3 juta kenderaan yang menggunakan lebuh raya itu pada hari-hari biasa.

Menurutnya, waktu puncak bagi pengguna kenderaan bercuti dan pulang ke kampung sempena Aidilfitri ialah antara 16 dan 20 Julai ini.

Sehubungan itu katanya, PLUS mengatur pelbagai strategi untuk membantu orang ramai menikmati perjalanan yang selesa dan lancar di lebuh raya.

"Antara strategi utama yang diperkenalkan tahun ini adalah menggalakkan lebih ramai penduduk di Lembah Klang pulang ke kampung lebih awal dan menggagihkan trafik, iaitu pada hari-hari bukan waktu puncak pada 13 hingga 15 Julai," katanya pada talimat media mengenai persediaan PLUS menghadapi pertambahan trafik pada musim perayaan di Menara Persada PLUS di sini, Isnin.

Turut hadir, Ketua Pegawai Operasi PLUS, Mohammad Fuad Khusairi.

Sebagaimana yang diumumkan pada Jun lalu, Noorizah berkata, PLUS akan menawarkan rebat tol di antara 30 dan 50 peratus pada hari-hari bukan puncak.

Menurutnya, rebat tol 50 peratus ditawarkan sepanjang hari untuk perjalanan jarak jauh melebihi 100 kilometer di Lebuhraya Utara-Selatan dan Elite serta membayar tol secara elektronik menerusi kad PLUSMiles, kad Touch ‘n Go atau SmartTAG pada 13 dan 23 Julai.

"Rebat tol 40 peratus diberikan pada 14 dan 12 Julai, manakala rebat tol 30 peratus pula diberikan bagi perjalanan jarak jauh pada 15 dan 21 Julai.

"Rebat tol boleh dituntut di semua Pusat Khidmat Pelanggan di lebuh raya PLUS bermula 15 Ogos hingga 14 November ini," katanya.

Ditanya mengenai penurunan kadar kenderaan menerusi pelaksanaan rebat, Noorizah berkata, tiada jangkaan yang dibuat berikutan tawaran itu baharu sahaja diperkenalkan tahun ini namun berpendapat jumlah itu akan menurun dengan menyaksikan peralihan kenderaan kepada hari bukan puncak.

Dalam pada itu, PLUS turut mengeluarkan jadual Cadangan Waktu Perjalanan (TTA) untuk perjalanan di lebuh raya itu bagi membantu melancarkan trafik pada hari-hari puncak sempena Aidilfitri.

Noorizah bagaimanapun berkata, kadar pematuhan kepada TTA itu agak rendah dan menurun sejak beberapa tahun kebelakangan ini sama ada aliran trafik dari Lembah Klang untuk pulang ke kampung atau dari kampung pulang ke Lembah Klang.

Mengikut statistik, katanya, bagi kadar pematuhan TTA untuk pulang ke kampung, kadarnya ialah 36 peratus pada 2014 dan 46 peratus (2013) manakala kadar untuk pulang ke Lembah Klang ialah 27 peratus (2014) dan 41 peratus (2013).

Tambahnya, kadar rendah dan penurunan itu disebabkan oleh sikap pengguna jalan raya yang tidak merancang perjalanan dengan baik selain mementingkan diri sendiri.

"Kadar pematuhan bagi jadual cadangan waktu perjalanan untuk aliran trafik yang lancar dan memberikan keselesaan kepada pengguna jalan raya ialah sekurang-kurangnya 60 peratus.

Sehubungan itu, kami menasihatkan orang ramai yang menggunakan Lebuhraya Utara-Selatan pada hari-hari puncak supaya mengikut jadual ini,” katanya sambil menambah bahawa orang ramai boleh merujuk jadual TTA menerusi laman sosial Twitter www.twitter.com/plustrafik dan memuat turun aplikasi ‘PLUS Mobile Apps’ menerusi telefon pintar atau tablet.

Artikel Sebelum

Artikel Lain