suria

Tunjuk Kemaluan, Penjaga Stor Didenda RM3,000

KUALA LUMPUR: Gara-gara menunjukkan kemaluan kepada seorang remaja perempuan, seorang penjaga stor didenda RM3,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, Isnin.

Majistret Nur Azura Murah menjatuhkan hukuman itu ke atas Muhammad Daniel Haikal Abdullah, 28, selepas dia mengaku bersalah berbuat demikian kepada remaja berusia 19 tahun berkenaan yang bekerja di sebuah butik.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dipenjara lima bulan jika gagal membayar denda. Muhammad Daniel membayar denda itu.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah butik di tingkat 4 sebuah pusat beli-belah di Dang Wangi di sini pada 10.30 pagi, 1 Julai lepas.

Dia didakwa mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya.

Ketika rayuan, peguam Ahmad Redza Mohd Noh berkata anak guamnya memohon maaf dan berjanji tidak akan mengulangi kesalahan itu, selain memohon mahkamah menjatuhkan hukuman denda minimum.

Timbalan Pendakwa Raya Ezrene Zakariah memohon mahkamah menjatuhkan hukuman berat dengan alasan tindakan tertuduh telah mendatangkan ketakutan dan trauma kepada mangsa. 

Penjaga Stor, Kemaluan, Mahkamah

Artikel Lain