suria

Teks Ucapan Penuh Perdana Menteri Pada Pelancaran Indeks Syariah Malaysia

PM ketika melancarkan Indeks Syariah Malaysia di Putrajaya pada Selasa, 10 Februari 2015.

BERIKUT ADALAH TEKS UCAPAN PENUH PERDANA MENTERI PADA MAJLIS PERDANA ULAMA~UMARA 2015 DAN PELANCARAN INDEKS SYARIAH MALAYSIA PADA SELASA, 10 FEBRUARI 2015 DI DEWAN PERDANA, PUSAT KONVENSYEN ANTARABANGSA, PUTRAJAYA.

Bismillahirrahmanirrahim, ALHAMDULILLAHI RABBIL ‘ALAMIN WASSALATU WASSALAMU ’ALA ASYRAFIL ANBIYA’I WAL MURSALIN. SAIDINA MUHAMMADIN WA’ALA AALIHI WASOHBIHI AJMA’IN Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakaatuh.

Salam Sejahtera dan Salam 1Malaysia.

YANG BERHORMAT MEJAR JENERAL DATUK SERI JAMIL KHIR BIN HJ BAHAROM (B), MENTERI DI JABATAN PERDANA MENTERI

YANG BERBAHAGIA TAN SRI DR ALI BIN HAMSA, KETUA SETIAUSAHA NEGARA

YANG BERBAHAGIA DATUK OTHMAN BIN MUSTAPHA, KETUA PENGARAH JABATAN KEMAJUAN ISLAM MALAYSIA

ASHABUL FADHILAH BARISAN ULAMA DAN UMARA, TUAN-TUAN DAN PUAN-PUAN YANG DIRAHMATI ALLAH SEKALIAN.

1. Alhamdulillah, setinggi rasa syukur kita panjatkan ke hadrat Allah SWT, dapat kita bersama di Dewan Perdana, PICC, bagi menyempurnakan Majlis Perdana Ulama-Umara tahun 2015 dan Pelancaran Model Indeks Syariah Malaysia yang amat bersejarah ini. Semoga pertemuan kita, bukan sekadar pertemuan jasadi, tetapi ia adalah pertemuan yang menyatukan hati-hati kita ke arah matlamat yang sama.

2. Setinggi penghargaan saya ucapkan, buat sekalian ulama dan umara yang hadir bersama kita pada tengahari ini. Demikian juga kepada para hadirin yang lainnya, termasuklah kepada urusetia yang telah menjayakan majlis ini. Syabas dan tahniah saya ucapkan kepada Sekretariat Ulama~Umara (Umum), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) yang merupakan penganjur utama program tahunan kita ini.

3. Sesungguhnya, peluang untuk bersama dengan tuan-tuan para ulama dan umara merupakan salah satu perkara yang amat saya nanti-nantikan. Saya berkeyakinan, dalam kesungguhan negara merealisasikan program transformasi bagi mencapai visi yang telah digariskan, peranan dua tonggak umat ini iaitu ulama dan umara semestinya amat penting, dalam mencorakkan kejayaan yang dirancang. Rasulullah SAW telah memberikan tamsilan yang begitu baik sekali berkenaan perkara ini.

HUBUNGAN ULAMA DAN UMARA

4. Baginda SAW telah menyifatkan para ulama, umpama bintang petunjuk di langit. Menurut sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad, Baginda SAW bersabda yang bermaksud: "Bandingannya para ulama' di bumi ini samalah seperti bintang-bintang di langit. Ia menjadi pedoman dalam kegelapan di laut dan di darat. Kalau bintang-bintang itu pudar, mereka yang berpandukannya akan sesat".

Perbandingan buat para umara pula, Baginda Rasulullah SAW menyatakan bahawa umara merupakan perisai ummah melalui hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim yang bermaksud: "Pemimpin itu adalah perisai. Orang akan berperang di belakangnya dan berselindung di sebaliknya".

5. Begitulah gambaran indah dan tepat yang diberikan oleh baginda SAW tentang kedudukan serta peranan ulama dan umara, dalam membangun umat dan Negara ini. Makanya, sudah pasti ulama dan umara perlu kukuh mengukuhi antara satu sama lain.


UJIAN DAN CABARAN UMAT

6. Semenjak penubuhan negara Malaysia ini, kita telah berusaha dengan sepenuh daya, bagi membangunkan negara tercinta. Sudah tentu putaran sejarah itu ada naik dan turunnya, Kita telah melalui pelbagai liku dan getir zaman, khususnya tahun 2014 yang baru berlalu, kita diuji dan dicuba dengan pelbagai ujian. Namun yang lebih penting, kita sentiasa bangkit dan tidak pernah putus asa kepada Allah Yang Maha Esa.

7. Banyak cabaran yang telah berlalu, dan banyak lagi yang akan bakal menjelma. Segala ujian dan cabaran itu sememangnya memeritkan, namun yang lebih merisaukan kita ialah cabaran yang berbentuk serangan akidah dan pemikiran.

8. Oleh itu, para ulama dan umara wajiblah berganding-bahu memikirkan bagaimana ciri-ciri wasatiyyah, hikmah dan rahmah ini boleh dimanifestasikan ke dalam pelbagai ruang dan peluang agar akhirnya nanti segala persepsi buruk yang dikaitkan dengan Islam dan umatnya boleh dikikis secara perlahan-lahan.


MENANGANI PERSEPSI BURUK TENTANG ISLAM

9. Kita sesungguhnya tidak mahu hanya berjaya menyajikan kepada masyarakat sesuatu yang bersifat labeling (pelabelan) semata-mata. Adakah sesuatu yang tidak dilabelkan dengan jenama Islam, maka secara automatik ia menjadi tidak Islamik? Dan adakah jika sesuatu itu dilabelkan sebagai Islam, maka ia benar-benar menepati kehendak Islam?

10. Justeru, kebanyakan dasar dan program Kerajaan tidak dilihat sebagai menepati tuntutan Islam semata-mata, kerana ia tidak dijenamakan Islam. Yang dianggap sebagai menepati Islam, bagi mereka ialah apabila ia berlabel atau berjenama Islam.

11. Sebagai contoh, adakah sekolah rendah kebangsaan kerajaan yang tidak menggunakan label sebagai sekolah rendah kebangsaan Islam dilihat tidak islamik? Hakikatnya terdapat juga silibus seperti Jawi, Quran, Arab dan Fardhu Ain (j-QAF) dan Kelas Al-Quran dan Fardhu Ain (KAFA) yang sama sepertimana yang diajar di sekolah rendah agama.

12. Begitu juga contoh yang lain, adakah Bank Rakyat itu kurang keislamannya berbanding Bank Islam, hanya kerana ia tidak dilabelkan dengan tag nama Islam atau menggunakan kalimah Arab? Sedangkan seluruh sistemnya berteraskan prinsip kewangan dan perbankan yang patuh syariah. Sebagaimana kita berbangga dengan Bank Islam demikian juga kita berbangga dengan Bank Rakyat, kerana mereka mewakili aspirasi kerajaan yang menyasarkan Malaysia untuk menjadi hub perbankan dan kewangan Islam dunia.

Tuan-Tuan Dan Puan-Puan Sekalian,

13. Sekiranya kita membangunkan sebuah indeks yang dapat dilaksanakan dengan penuh ketelusan dan kecekapan berdasarkan prinsip Maqasid Syariah, maka saya berkeyakinan, isu tanggapan buruk, kekeliruan serta fobia terhadap Islam dapat dimurni dan diperbetulkan. Yang paling membimbangkan kita adalah, apabila terdapat sesetengah pihak yang terpengaruh dengan jalan songsang kononnya dalam perjuangan untuk membuktikan kesucian Islam. Mereka ini telah menyalah tafsirkan Konsep Jihad, sebagai perjuangan yang menghalalkan pengambilan nyawa secara zalim dan tidak berasas.

14. Oleh kerana itulah, Kerajaan Malaysia menyekat pengaruh radikal ini dan mengambil pendekatan Wasatiyyah supaya kedua-dua syariat dan syiar Islam ini dapat diimarahkan, tanpa menimbulkan apa–apa keresahan kepada semua lapisan masyarakat. Umat Islam memang secara semulajadinya memiliki rasa kecintaan yang tinggi kepada Nabi Muhammad SAW dan sangat marah kepada sesiapa pun yang menghina Baginda. Bagaimanapun ini tidak bermakna, umat Islam boleh bertindak di luar batas-batas syariat Islam dalam menangani penghinaan ini.


LATARBELAKANG KEWUJUDAN INDEKS SYARIAH MALAYSIA

15. Sejak memimpin negara ini, saya telah banyak mendapat input mengenai agenda Islam dari pelbagai lapisan masyarakat termasuk NGO-NGO. Sememangnya, sejak merdeka hingga kini, kerajaan sentiasa beristiqomah dalam memastikan setiap usaha dan dasar yang kerajaan laksanakan adalah berpaksikan Maqasid Syariah.

16. Namun, usaha murni ini tidak dilihat menepati semangat dan tuntutan Islam oleh sesetengah pihak. Mungkin ini disebabkan tidak semuanya membawa label atau nama Islam, walaupun segi matlamat atau maqasidnya adalah Islamik.

17. Maqasid Syariah sememangnya telah diaplikasikan sebagai teras dalam pemerintahan di Malaysia selama ini, hanya ia belum pernah diukur pada suatu tahap sebenar. Oleh itu, inilah masa yang amat sesuai untuk menjelaskan salah faham dan tanggapan segelintir rakyat Malaysia yang mengatakan sistem pentadbiran Negara selama ini tidak mengikut prinsip-prinsip Islam.

18. Beriltizamkan perkara tersebut, di Majlis Perdana Ulama-Umara pada 28 Ogos 2014, saya telah mencetuskan idea bagi Malaysia melakarkan satu dimensi baru, berkaitan Indeks Syariah Malaysia yang belum pernah dilaksanakan sebelum ini. Indeks ini merupakan satu produk pelengkap Tadbir Urus Islam di Malaysia, yang boleh dianggap mempunyai nilai-nilai perintis. Dalam ertikata ia adalah menyeluruh, komprehensif dan yang pertama seumpamanya di dunia.

19. Sehubungan itu, kerajaan telah menubuhkan satu Jawatankuasa Khas yang diterajui oleh JAKIM dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) bagi memulakan usaha untuk membangunkan Indeks Syariah ini.

20. Jika status maju atau mundurnya sesebuah negara itu diukur menggunakan Human Development Index (Indeks Pembangunan Manusia), maka adalah sangat perlu untuk kita juga mempunyai satu kayu ukur yang objektif dan saintifik, bagi menentu-ukur kedudukan kita dalam menjalankan pentadbiran negara berdasarkan prinsip Maqasid Syariah.

TUJUAN INDEKS SYARIAH MALAYSIA

21. Indeks Syariah Malaysia merupakan satu kaedah pengukuran saintifik yang boleh menepati dua fungsi penting: Yang pertama, untuk menilai keseriusan usaha kita dari tahun ke tahun dalam menepati piawaian Islam berkaitan dasar dan program kerajaan. Dan yang kedua, bagaimana untuk kita mengenal pasti ruang-ruang pembaikan yang perlu diberi fokus oleh kerajaan, agar kita dapat menerima lebih banyak manfaat, hasil dari penerapan nilai-nilai sejagat dalam Islam.

22. Kaedah pengukuran ini dipanggil “indeks”. Oleh sebab pengukuran ini hendak disandarkan pada satu asas Islamik yang boleh diterima semua, maka saya memilih penyempurnaan Maqasid Syariah atau Matlamat Syariah sebagai asas ukuran ini.

23. Sebagai sebuah negara Islam, membina indeks yang dapat mengukur keseriusan usaha untuk meningkatkan tahap patuh Syariah pada setiap dasar dan program pentadbiran dan pembangunan negara, bolehlah di anggap sebagai inisiatif yang bertaraf perintis. Ini kerana kita mengambil tauladan dari Firman Allah SWT di dalam Surah An-Najmi ayat 39 yang bermaksud: "Dan bahawa sesungguhnya tidak ada (balasan) bagi seseorang, melainkan (balasan) apa yang diusahakannya";

24. Walaupun istilah indeks Syariah ada diguna oleh pelbagai pihak sebelum ini, namun begitu pembinaan indeks-indeks ini lebih banyak dituju bagi kegunaan mengukur tahap kepatuhan Syariah dalam bidang-bidang tertentu seperti kewangan, perhotelan, industri makanan dan pasaran saham.


KERANGKA KAJIAN INDEKS SYARIAH MALAYSIA

25. Keunikan Model Indeks Syariah Malaysia ini terletak pada pengukuran yang lebih menyeluruh. Ia mencakupi bagi fasa permulaan ini, lapan bidang utama, iaitu perundangan, politik, ekonomi, pendidikan, kesihatan, budaya, prasarana dan persekitaran, serta sosial.

26. Untuk setiap satu bidang ini, tahap penyempurnaan lima aspek dalam Maqasid Syariah, iaitu pemeliharaan agama, pemeliharaan nyawa, pemeliharaan akal, pemeliharaan keturunan dan pemeliharaan harta. Kita akan mengukur dan menyemak sama ada dasar dan program yang ditetapkan oleh kerajaan melalui kementerian dan agensi berkaitan, menepati atau tidak dengan apa yang terkandung dalam tuntutan Maqasid Syariah itu sendiri.

27. Sebagai contoh, sesuatu dasar itu mungkin patuh Syariah. Tetapi yang juga penting adalah bagaimana dasar itu dilaksanakan dengan adil, cekap dan tepat pada sasarannya, supaya keindahan dan rahmat di sebalik Maqasid Syariah itu akan lebih terserlah.

28. Dalam konteks ini, mengetahui apa nilai Indeks Syariah untuk satu-satu bidang, yang diukur melalui tahap kepatuhan Syariah dan juga persepsi masyarakat terhadap kualiti pelaksanaan dasar serta program berkaitan, ianya akan dapat memberi gambaran setakat mana tercapainya matlamat Syariah dalam bidang tersebut.

29. Kerana itu, Indeks Syariah Malaysia berorientasikan pengukuran usaha bukannya semata-mata tahap pencapaian dalam menterjemahkan prinsip dan nilai Islam. Dalam konteks ini juga, lebih tinggi nilai indeks bagi satu-satu bidang, maka bukan sahaja tahap patuh Syariah itu boleh dianggap tinggi, tetapi, kualiti pelaksanaan dasar dan program di bidang berkaitan boleh dibaca juga sebagai baik.

30. Lantaran itu, masyarakat bukan Islam juga menerima manfaat di sebalik penggunaan indeks ini. Sebab pada akhirnya, ia bertujuan untuk mencari ruang-ruang pembaikan yang boleh ditambahbaik. Jika kita sama-sama menerima sifat disiplin, sifat amanah, keadilan, kecekapan, keberkesanan dan ketelusan sebagai sifat-sifat mulia sejagat atau universal, maka sudah tentu kita juga akan menerima dua fungsi yang saya nyatakan tadi pada penggunaan Indeks Syariah Malaysia.

31. Saya dimaklumkan bahawa, didapati sudah lama ramai pemegang Akaun Mudharabah dalam bank-bank Islam di Malaysia adalah terdiri daripada orang bukan Islam. Sesungguhnya, nilai-nilai murni seperti keadilan, ketelusan dan kebaikan di dalam Sistem Akad Islam inilah, yang telah menarik hati dan minat orang bukan Islam untuk menjadi antara golongan paling ramai membuka Akaun Mudharabah (perkongsian keuntungan yang beramanah).

32. Begitu juga dengan pemilik Sijil Halal Malaysia, hampir 68 peratus adalah dari kalangan yang bukan Islam. Juga beberapa produk syariah yang lain seperti takaful dan sistem gadaian Islam, telah menarik minat dan penglibatan mereka untuk mengambil manfaat daripada produk syariah tersebut.

Tuan-Tuan Dan Puan-Puan Sekalian,

33. Tentu sekali kaedah pengiraan Indeks Syariah Malaysia yang telah dibina, akan dimantapkan dan diperhalusi dari masa ke semasa. Dengan peralihan tempoh yang sesuai, jumlah bidang yang diukur akan ditambah, aspek yang disemak akan diperincikan, kategori mereka yang diperolehi respons serta persepsi akan dipelbagaikan, dan skop agensi serta dasar yang dinilai akan diperluaskan.

34. Apabila sesuatu nilai indeks itu sudah diperolehi, tentu sekali tanggapan lumrah banyak pihak adalah, semakin tinggi nilai indeks itu, maka semakin baik dibaca tahap patuh Syariahnya. Justeru, persepsi masyarakat terhadap usaha penyempurnaan Maqasid Syariah dalam bidang tersebut semakin baik. Namun, kita tahu bahawa tahap kesempurnaan itu tidak ada penghujungnya. Sebab itu kita mesti berlapang dada, dalam mencari ruang-ruang pembaikan yang boleh diberi fokus tambahan oleh pihak kerajaan.

35. Jika dahulu kita tidak ada satu kaedah ukuran yang saintifik dan sistematik, maka dengan indeks ini, kita sekurang-kurangnya ada kaedah untuk mengetahui di mana status kita, bukan sahaja dari segi tahap patuh Syariah usaha kerajaan, dalam penggubalan dasar dan program, tetapi juga, keseriusan kita dalam melaksanakan sesuatu yang Islamik berlandaskan piawaian sistem perkhidmatan Islam.

Tuan-Tuan Dan Puan-Puan Sekalian,

36. Indeks Syariah Malaysia ini tentu sekali tidak akan bersifat statik atau sekaliguna sahaja. Ia mesti menjadi satu lagi mercu tanda untuk membuktikan keseriusan kerajaan dalam membawa proses transformasi yang tidak terpisah dari piawaian Islam.

37. Sehubungan dengan itu, saya ingin mengumumkan beberapa langkah utama yang penting supaya pelaksanaan dan pemantauan indeks ini berjalan dengan sistematik dan lebih efektif. Antaranya ialah:

Pertamanya, kita akan menubuhkan sebuah jawatankuasa khas yang dikenali sebagai Panel Jawatankuasa Tadbir Urus Indeks Syariah Malaysia yang berfungsi sebagai badan pelaksana dan pemantau indeks ini yang akan membuat pemantauan dan pengukuran indeks secara sepenuh masa. Badan ini juga akan diberi kuasa untuk menilai tahap kesungguhan, semua pihak yang terbabit dalam menjayakan agenda melaksanakan Maqasid Syariah. Panel jawatankuasa ini akan dianggotai oleh tokoh dan pakar dalam bidang dasar dan polisi, syariah, indeks dan ekonomi Islam serta wakil NGO Islam. Kita akan umumkan senarai ahli panel selepas ucapan saya ini.

Kedua, mengadakan program pencerahan dan penerangan tentang indeks ini supaya masyarakat tidak dipengaruhi dengan persepsi yang kurang tepat;

Ketiga, memulakan kajian untuk menilai persepsi masyarakat serta tahap kepuasan mereka terhadap darjah patuh Syariah dalam dasar dan program pihak kerajaan supaya masyarakat lebih berpengetahuan tentang keseriusan usaha kerajaan;

Keempat, mengadakan program penjanaan idea bersama pelbagai pemegang taruh (Stakeholder), untuk memperbaiki lagi usaha kerajaan supaya usaha mencapai tahap patuh Syariah ini membawa kepada budaya amal berjemaah;

Kelima, melaksanakan usaha yang tersusun rapi bersama kementerian-kementerian serta agensi-agensi berkaitan supaya prestasi mereka dapat dinilai sama ada menepati tuntutan Maqasid Syariah sama seperti kerajaan menyemak pencapaian Indikator Prestasi Utama atau KPI setiap kementerian dan agensi.

38. Dengan sempurnanya pelancaran Model Indeks Syariah Malaysia pada hari ini, kerajaan akan membentangkan kepada rakyat satu laporan penuh Indeks Syariah Malaysia apabila siap sepenuhnya nanti. Ini adalah kerana daripada hasil kajian awalan oleh pihak Jawatankuasa Teknikal Indeks Syariah Malaysia didapati bahawa, banyak lagi dasar Kerajaan serta program susulan yang menepati patuh syariah tetapi belum sempat lagi diukur.

39. Justeru, dalam usaha Kerajaan mengimarahkan kepatuhan syariah terhadap dasar Kerajaan selama ini, maka dasar yang tidak berlabelkan Islam tetapi menepati nilai Islam perlulah diambil kira demi mendapat ukuran yang lebih tepat dan menyeluruh.


MAKLUMBALAS HASIL LAWATAN PENANDA ARASAN KE BEBERAPA BUAH NEGARA

40. Dalam lawatan penanda arasan ke empat buah negara Islam, yang telah dilaksanakan oleh pihak Jawatankuasa Teknikal Indeks Syariah Malaysia ke negara-negara seperti Indonesia, Pakistan, Turki dan Maghribi. Mereka melaksanakan beberapa kaedah tersendiri dalam mengukur tahap patuh Syariah dalam bidang-bidang terpilih.

41. Kita bersyukur, kerana bumi Malaysia adalah bumi yang sangat bertuah. Dengan keamanan dan keharmonian yang kita kecapi selama ini, maka inisiatif yang menyeluruh seperti Model Indeks Syariah Malaysia dapat dibina dan dibangunkan dengan sebaiknya. Ini adalah kerana, usaha-usaha mengimarahkan Islam di Malaysia tidak menghadapi apa-apa halangan sebagaimana yang sebaliknya berlaku di negara-negara Islam yang lain.

42. Oleh itu, mereka telah meletakkan harapan yang tinggi ke atas inisiatif Kerajaan Malaysia dalam membina indeks ini. Mereka sangat mengalu-alukan usaha Kerajaan kita kerana melihat pendekatan kita bersifat syumul (komprehensif) dan terdapat penekanan elemen tadbir urus yang baik. Harapan saya dengan terbinanya indeks ini, ketelusan Kerajaan Malaysia untuk memperkasakan 8 bidang utama dapat dijayakan.

43. Saya menyeru kepada semua pihak, agar menerima usaha telus ini untuk menambahbaik pentadbiran Kerajaan yang sememangnya telah menepati tuntutan Islam melalui Maqasid Syariah. Jika sebelum ini banyak pihak yang mempertikaikannya, tetapi dengan pengenalan Indeks Syariah ini yang merupakan satu kaedah yang objektif, telus, lebih komprehensif akan mampu memberi indikator pencapaian yang lebih tepat.


MEMARTABAT SYIAR DAN SYARIAT ISLAM

44. Hakikatnya, Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan jelas meletakkan Islam sebagai agama Negara. Begitu juga, sepertimana yang termaktub di dalam Fasal 3.3 Perlembagaan Umno yang menyebut, menegak, mempertahankan dan mengembangkan Islam, agama rasmi negara serta menghormati prinsip kebebasan beragama.

45. Kerajaan juga sejak dahulu lagi telah berusaha untuk membasmi kemiskinan. Pelbagai dasar diperkenalkan termasuk dengan memperkenalkan penerokaan kawasan baru seperti Felda dan pelbagai agensi lain untuk memperbaiki taraf hidup dan membasmi kemiskinan rakyat. Kita dapati bahawa Generasi Felda telah pun menikmati pendidikan dan kualiti hidup yang lebih baik pada hari ini.  Kesemuanya ini, telah menepati kehendak prinsip pemeliharaan harta dan pemeliharaan akal yang terkandung di dalam Maqasid Syariah, walaupun kita tidak menggunakan label Islam.

46. Selama ini kita sering terkeliru yang mana perlu diutamakan antara substance atau form, intipati atau rupa luaran, syiar atau syariat. Mana satukah yang perlu diberi keutamaan. Ramai orang menganggap bahawa apa yang luar begitu penting tanpa memikirkan soal intipati di dalamnya.

47. Ibarat sebiji Durian Musang King yang amat menyelerakan untuk dimakan, tetapi bila dibelah, isi dalamnya berulat, atau sebiji durian yang buruk rupanya tetapi isi dalamnya boleh dimakan, atau sebiji durian yang cantik luarannya dan isinya bukan sahaja enak dimakan malah berkhasiat pula. Mana satu durian yang kita akan pilih? Sudah tentu dengan pertimbangan yang rasional, kita akan memilih durian yang ketiga. Kerana sememangnya, Islam mementingkan luaran dan intipati atau syariat dan syiarnya sekali.

48. Bezakan pula dengan usaha serius yang dijalankan oleh Kerajaan dalam membangunkan Negara tercinta ini, dengan helah serta mainan politik sesetengah pihak. Mereka sering kali menitikberatkan penggunaan form atau syariat sahaja. Sesungguhnya apa yang kita laksanakan sebenarnya menitikberatkan syariat dan syiar iaitu substance dan form. Kedua-duanya mestilah seiring dan sejalan.

49. Sebab itulah orang tua-tua dahulu pernah berpesan ‘laksana bunga dedap, kelopaknya cantik, merah menyala, namun berbaunya tidak’


KEPENTINGAN INDEKS SYARIAH MALAYSIA

50. Sebenarnya, dengan kewujudan Indeks Syariah Malaysia ini menunjukkan, betapa berani dan jujurnya kerajaan dalam mengukur usaha dan iltizam yang telah dilaksanakan berteraskan Maqasid Syariah.

51. Sesungguhnya, pembangunan Indeks Syariah Malaysia ini amat penting untuk negara, bukan sekadar hendak meninggikan syiar dan syariat semata-mata, bukan juga sekadar untuk membangunkan ekonomi dan bangsa. Tetapi, ianya mencakupi kemajuan setiap sektor, bidang dan komponen yang membentuk sebuah negara yang maju dan progresif. Jika tidak dimulakan sekarang, kita bimbang akan jauh ketinggalan berbanding negara-negara lain walaupun kita telah mencapai status negara maju.

52. Kerajaan sentiasa berusaha untuk memartabatkan syiar dan syariat Islam. Kita juga sentiasa menjaga perpaduan dan keharmonian antara kaum dan agama, sehingga Malaysia terkenal sebagai sebuah negara yang aman dan makmur. Namun semuanya ini, masih tidak mencukupi, kerana kita benar-benar mahu memacu Malaysia sebagai Negara Islam Mithali dalam proses pembangunan dan tadbir urus patuh syariah berasaskan Maqasid Syariah. Kerana itulah, perlunya dibangunkan Indeks Syariah Malaysia ini sebagai pelengkap kepada cita-cita kita untuk mencapai status negara maju yang berpendapatan tinggi.

53. Inilah komitmen sebenar kerajaan yang ingin melihat kedudukan syiar dan syariat Islam dimartabatkan melalui pengenalan indeks ini. Sepertimana yang dituntut melalui Firman Allah SWT di dalam Surah Al Ankabuut ayat ke 69 yang bermaksud: "Dan orang-orang yang berusaha dengan bersungguh-sungguh kerana memenuhi kehendak ugama Kami, sesungguhnya Kami akan memimpin mereka ke jalan-jalan Kami (yang menjadikan mereka bergembira serta beroleh keredhaan); dan sesungguhnya (pertolongan dan bantuan) Allah adalah berserta orang-orang yang berusaha membaiki amalannya."

Tuan-Tuan Dan Puan-Puan yang dirahmati Allah sekalian,

Marilah kita bersama memohon kepada Illahi.

Perkukuhkanlah saf kepimpinan ulama dan umara ini, supaya ianya teguh berdiri.

Dengan rahmat Illahi jua, jadikan pemimpin-pemimpin kita, pemimpin beramanah yang disayangi.

Rakyat kita, rakyat yang dihormati.

Bangsa kita, bangsa yang disegani.

Negara kita, negara yang dicontohi.

Agama kita, agama yang dirahmati.

Dengan panduan Mu Ya Rabbi, agar di negara tercinta ini, perpaduan menjadi sebati.

Keharmonian kekal abadi.

Pada Mu Ya Allah, apalah kiranya, dikurniakan keampunan kepada mereka yang telah mendahului kami, untuk mengadap Mu, khususnya kepada para Ulama, barisan Umara, saf kepimpinan, pejuang agama, bangsa dan tanah air kami, dan tidak ketinggalan kepada seluruh umat Islam yang lain, yang telah pergi mengadap Mu.

Engkau rahmati dan ampunilah dosa-dosa mereka.Engkau jadikanlah tempat persemadian mereka, satu taman dari taman-taman syurga Mu.

Berbekal doa, memohon Illahi

Bersungguh kita, menempa sejarah

Bersandar syariah, menuju visi

Rahmat bangsa, berkat ummah

Kepada Allah, kami berserah!

54. Dengan lafaz, Bismillahir rahmanir rahiim, saya dengan sukacitanya, merasmikan Majlis Perdana Ulama~Umara tahun 2015 dan seterusnya melancarkan Model Indeks Syariah Malaysia pada hari ini.

Sekian, Wabillahittaufiq walhidayah, wassalamu ‘alaikum warahmatullahi wabarakaatuh.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain