suria

Ekspatriat Tinggal Lebih Masa Dikecualikan Tindakan Mulai Esok

Gambar hiasan.
PUTRAJAYA: Satu tempoh moratorium atau penanggguhan sementara daripada tindakan disebabkan tinggal lebih masa akan diberi kepada ekspatriat di negara ini mulai 10 Februari hingga 31 Mei depan, kata Ketua Pengarah Imigresen Datuk Mustafa Ibrahim.

Beliau berkata penangguhan tindakan itu diberi kerana Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) sedang menambah baik Sistem Khidmat Ekspatriat (ESD) bagi urusan pas penggajian ekspatriat di negara ini.

Katanya sepanjang tempoh moratorium itu, pengeluaran Pas Khas (Gratis) akan diberi kepada ekspatriat berkenaan jika memohon pas khas kali kedua sementara menunggu keputusan daripada JIM.

"Gratis juga akan diberi atas sebab menunggu keputusan terhadap proses pendaftaran syarikat secara dalam talian dan menunggu urusan naziran selesai dilaksanakan oleh JIM," katanya dalam satu kenyataan di sini,Isnin.

Mustafa berkata selain tiga sebab tersebut tempoh moratorium adalah tidak terpakai.

Katanya bagi mendapatkan Pas Khas berkenaan di ESD, pihak syarikat dikehendaki membawa surat Akuan Penerimaan yang dikeluarkan oleh JIM.

Untuk mendapatkan maklumat lanjut layari laman web JIM www.imi.gov.my; atau www.esd.imi.gov.my.


Artikel Lain