suria

Sah Hadi Hadir

Hadi sebaik tiba di pekarangan bangunan Pejabat Agung PAS, Ahad.

KUALA LUMPUR: Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang akan menghadiri mesyuarat Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat yang akan bermula kira-kira pukul 2.30 petang Ahad.

Jaminan itu diberikan Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali selepas berakhirnya mesyuarat Jawatankuasa PAS Pusat di Pejabat Agung parti itu sebentar tadi.

"Datuk Seri Hadi Awang akan datang, pukul 2 petang nanti beliau sampai... InsyaAllah," katanya kepada pemberita di sini.

Isu kehadiran Hadi menjadi polemik di kalangan pimpinan Pakatan Rakyat khususnya DAP.

Baru-baru ini sekutu PAS itu memberi kata dua kepada kepada Hadi bahawa mesyuarat Majlis Pakatan Rakyat yang akan berlangsung di Pejabat Agung PAS pada petang ini tidak akan diteruskan jika veteran PAS itu gagal hadir.

Sementara itu, ditanya sama ada isu pelaksanaan hukum hudud akan dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Pakatan Rakyat, Mustafa berkata, perkara itu bukan keutamaan buat masa ini.

"Kita bincang agenda memperkukuhkan Pakatan, tengok keadaan...belum tentu ada bincang enakmen hudud," katanya.

Mustafa turut mengesahkan bahawa tuduhan wujudnya komplot untuk menjatuhkan Hadi tidak dibincangkan pada mesyuarat Jawatankuasa PAS Pusat.

Artikel Lain