suria

Keputusan Ujian Sampel Darah Babi Dari Kampung Selamat Diketahui Esok

Seorang Pegawai Jabatan Veterinar, Dr Nabila Abdul Talib mengambil sampel darah khinzir di ladang ternakan khinzir di Kampung Selamat di sini untuk membuat pemeriksaan lanjut pada Selasa lalu. - fotoBERNAMA
PUTRAJAYA: Keputusan sama ada 181 sampel darah dari 20 ladang babi di Kampung Selamat, Pulau Pinang, positif atau negatif virus Ensefalitis Jepun (JE) dijangka diketahui pada Jumaat.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Veterinar Datuk Dr Mohamad Azmie Zakaria berkata selepas keputusan diperoleh, ladang yang dikesan positif JE akan dikuarantin dalam satu tempoh masa yang tidak dapat dinyatakan iaitu sehingga diyakini bebas dari virus itu.

"Selasa lepas aktiviti pensampelan telah dilakukan oleh sepuluh pasukan yang terdiri daripada 40 orang staf. Sampel darah yang diambil dihantar ke Institut Penyelidikan Veterinar, Ipoh bagi tujuan pengesanan kehadiran virus dengan menggunakan teknik 'Polymerase Chain Reaction' (PCR)," katanya dalam sidang media di sini Khamis.

Beliau berkata selepas ini pihak veterinar akan melakukan perkara yang sama ke atas 179 lagi ladang babi di seluruh Pulau Pinang selain memantau keadaan di 542 ladang babi di seluruh semenanjung.

Sampel darah haiwan itu diambil ekoran seorang murid tahun enam Sekolah Kebangsaan Kampung Selamat di Tasek Gelugor, Pulau Pinang, Muhammad Ammar Muqrish Zulkiffli koma disyaki dijangkiti virus JE dan lebih sebulan dirawat di sebuah hospital swasta di Bayan Baru, Pulau Pinang.

Dr Mohamad Azmie berkata pada masa ini penyebaran virus JE bersifat sporadik atau sekali sekala dan selain manusia, virus itu juga menyerang kuda.

"Lain-lain haiwan seperti lembu, bebiri, kambing, anjing, kucing, katak, mamalia liar dan burung juga boleh dijangkiti cuma ia tidak menunjukkan tanda-tanda klinikal dan kita juga mungkin ada membuat sampling ke atas haiwan-haiwan ini selain babi," katanya.

Beliau berkata faktor berlakunya penyebaran virus itu dipercayai akibat musim panas yang kini melanda Malaysia menyebabkan air banyak digunakan di ladang babi sehingga menyebabkan air bertakung dan menjadi tempat pembiakan nyamuk "Culex Tritaeniorhynchus".

Justeru itu, beliau mengingatkan penternak supaya menjaga kebersihan ladang masing-masing dan membuat saliran perparitan yang baik bagi mengelakkan air daripada bertakung.

Penternak boleh melaporkan kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar jika mengesyaki babi peliharaan dijangkiti virus itu dan jika tidak berbuat demikian mereka boleh didakwa di bawah Seksyen 31 Akta Binatang Pindaan 2013 yang jika disabitkan kesalahan boleh didenda sebanyak RM 25,000, katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Lain