suria

Pelan Bendung Kutipan Derma Di Kalangan Kanak-Kanak Dilancar

Razali Shahabuddin.
BANGI: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) pada Selasa melancar 'Pelan Tindakan Penguatkuasaan Menangani Isu Kutipan Derma di Kalangan Kanak-kanak' dalam usaha membendung aktiviti tersebut.

Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan Insan) Jakim, Datuk Razali Shahabuddin berkata pelan tersebut mempunyai lima teras strategik yang dirangka dengan kerjasama 18 agensi lain merangkumi agensi kerajaan, badan bukan kerajaan dan isntitusi pengajian tinggi.

"Pelan itu bagi membolehkan tindakan yang bersepadu dan berkesan untuk dilaksanakan di peringkat persekutuan dan negeri oleh 18 agensi tersebut antaranya Kementerian Dalam Negeri, Jabatan Kebajikan Masyarakat serta Jabatan Peguam Negara," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan program Kempen Menangani Eksploitasi Kanak-kanak melalui Kutipan Amal di sini, Selasa.

Katanya lima pelan strategik itu ialah Pemantapan Peruntukan Undang-undang, Pemerkasaan Penguatkuasaan Inter Agensi, Pengukuhan Kesahihan Maklumat, Penyelarasan Penyelidikan serta Peningkatan Kempen Pencegahan dan Kesedaran.

Razali juga mengingatkan masyarakat supaya tidak menyokong sindiket eksploitasi tersebut dengan memberikan derma kepada kanak-kanak sebaliknya menyalurkannya di tempat yang betul.

"Sifat dermawan dan murah hati rakyat Malaysia harus disalurkan di tempat yang betul bukan kepada mereka yang berselindung atas nama agama," katanya.

Jakim, derma, kanak-kanak

Artikel Sebelum

Artikel Lain