suria

Kuasai Keseluruhan Rantaian Nilai, Elak Monopoli Orang Tengah - Ismail Sabri

KUALA LUMPUR: Golongan petani, nelayan dan penternak disaran supaya menguasai keseluruhan rantaian nilai bagi membolehkan mereka mendapat pulangan hasil yang lebih tinggi, sekaligus mengelak daripada manipulasi orang tengah.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata mereka perlu mengubah minda dengan menguasai sendiri keseluruhan rantaian itu termasuk pengeluaran benih tanaman, jentera, kelengkapan dan pengangkutan sendiri tanpa pergantungan kepada pihak lain.

"Kita jangan fokus kepada pengeluaran sahaja kerana ia hanya menyumbang 20 peratus daripada keseluruhan rantaian nilai, katanya ketika berucap pada majlis sambutan ulangtahun ke-41 Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) peringkat kebangsaan di sini Jumaat.

Jika golongan ini dapat melakukan transformasi itu dengan menguasai keseluruhan rantaian nilai, mereka akan menikmati 100 peratus keuntungan hasil susah payah mereka dalam pengeluaran, katanya.

Sementara itu dalam sidang medianya, Ismail Sabri berkata agensi terlibat seperti LPP, Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) dan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) di setiap peringkat perlu membuktikan kesungguhan mereka dalam membantu golongan terbabit memperkasa keupayaan mereka sebelum mengharapkan bantuan kerajaan.

Ismail Sabri berkata:"Semua 13 agensi dan jabatan di kementerian ini juga diminta melahirkan sekurang-kurangnya 100 usahawan tani belia pada tahun ini termasuk PPK yang mempunyai 276 kawasan."

Bagaimanapun kementerian hanya menyasarkan 1,000 usahawan tani kerana tidak banyak golongan muda yang berminat kerana ada yang mengaitkan kerjaya ini dengan kemiskinan sedangkan realitinya tidak di kebanyakan negara maju, katanya.

Beliau juga berkata cadangan pembinaan lima pasar borong tani belum lagi dimuktamadkan lokasinya kerana kesesuaiannya masih dalam kajian.

Menyentuh isu kemarau pula, beliau berjanji akan meninjau masalah dan kebimbangan 8,000 pesawah padi di negeri Kelantan Isnin ini kerana jika tidak ditangani dengan cekap, ia boleh mengundang kerugian kira-kira RM90 juta. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain