suria

Pemilihan PKR: Jawatan Presiden Dipertandingkan

PETALING JAYA: Semua jawatan tertinggi Parti Keadilan Rakyat (PKR) termasuk presiden akan dipertandingkan pada pemilihan parti itu Mei depan.

Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Pusat PKR, Datuk Johari Abdul bagaimanapun berkata, calon bagi jawatan tertinggi (Presiden) hanya akan diketahui pada hari penamaan nanti.

"Jawatan itu sudah tentu ada untuk dipertandingkan. Sama ada terdapat orang bertanding atau tidak ia diluar kawalan jawatankuasa pemilihan parti.

"Ini bermakna jawatan ini tetap ada untuk dipertandingkan. Siapa yang akan bertanding itu terpulang sampai hari penamaan calon," katanya pada sidang media di sini Khamis.

Beliau berkata demikian bagi mengulas spekulasi bahawa Datuk Seri Anwar Ibrahim yang akan merebut jawatan tersebut yang disandang isterinya, Datin Seri Wan Azizah Wan ismail.

Menurut Johari, proses pemilihan akan diadakan pada 25 April hingga 11 Mei depan mengikut zon manakala hari penamaan pencalonan ditetapkan pada 29 Mac bagi jawatan peringkat pusat dan 4 April bagi peringkat cabang.

"Proses pemilihan akan diadakan mengikut zon yang bermula dengan negeri Sarawak, Johor, Melaka, Kelantan, Terengganu dan Pahang pada 25 hingga 27 April depan.

"Selepas itu diikuti negeri Sabah, Perak, Pulau Pinang, Kedah dan Perlis pada 2 hingga 4 Mei, " katanya.

Sementara itu, Johari berkata, pemilihan bagi negeri Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan akan diadakan pada 9 hingga 11 Mei.

"Keputusan undian akan diketahui seawal 11 Mei sebaik proses pengundian tamat manakala barisan kepimpinan baharu akan diumumkan selewat-lewatnya pada 13 Mei ," jelasnya.

Artikel Sebelum

Zaid Mungkin Tanding Di Kajang

Artikel Lain