suria

Remaja OKU Maut Jatuh Kolam Ketika Memancing

KOTA BAHARU: Seorang remaja kelainan upaya (OKU)Mohamed Hilmi Mohamed, 15, maut selepas dipercayai tergelincir ke dalam sebuah kolam buatan di Kampung Pasir Tok Kambing, Sering di sini, Rabu.

Dalam kejadian kira-kira 9 pagi itu, mangsa yang merupakan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Demit bersama seorang adik lelakinya sedang memancing ikan di kolam itu kira-kira 300 meter dari rumah mereka. Adik mangsa, Mohd Hafizullah, 12, berkata setelah abangnya terjatuh, dia cuba mendapatkan bantuan daripada orang ramai.

"Setelah kembali ke kolam bersama dua penduduk kampung, abang saya didapati sudah tidak bernyawa lagi," katanya kepada pemberita di lokasi kejadian.

Mohd Hafizullah berkata mereka keluar memancing tanpa memberitahu anggota keluarga mereka.

Seorang penduduk, Ibrahim Sulaiman berkata beliau sedang menaiki motosikal apabila mendengar jeritan supaya membantu menyelamatkan mangsa.

"Saya terus berhenti dan mengangkat mangsa bersama seorang lagi penduduk kampung tetapi ketika itu mangsa sudah tidak bernyawa," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Baharu, ACP Azham Othman ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan.

Mayat Mohamed Hilmi dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II untuk dibedah siasat. -BERNAMA

Artikel Berikut

1,073 Mangsa Banjir Di Pahang

Artikel Lain