suria

Nafas Rancang Bina Kilang Proses Makanan Ayam Di Pahang

KUALA LUMPUR: Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) merancang membina kilang memproses makanan ayam di Gebeng, Pahang tahun hadapan.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata kilang itu dijangka mampu menghasilkan 20,000 tan makanan ayam setahun.

"Buat masa ini, Nafas hanya mengeluarkan sebanyak 2,000 tan makanan ternakan ayam untuk pasaran tempatan melalui beberapa konsortium yang dilantik.

"Dengan pembinaan kilang ini, kita harap ia dapat membendung kenaikan harga ayam di masa hadapan," katanya dalam sidang media pada majlis penutup Tilawah Al-Quran Peladang Peringkat Kebangsaan di sini Khamis.

Majlis tilawah yang julung kali diadakan itu dimenangi qari Perak Mohd Ramadan Razali manakala juara qariah ialah Siti Rogayah Abu Bakar yang mewakili Kedah. Mereka menerima hadiah wang tunai RM10,000 serta pakej menunaikan umrah.

Majlis tilawah kali ini disertai 11 qari dan 10 qariah yang mewakili negeri masing-masing.

Turut hadir ialah Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia Datuk Othman Mustapha dan Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang Malaysia Datuk Zainal Dahalan. - BERNAMA

Artikel Lain