suria

Saran Wujud Jawatankuasa Khas Pulihara Tapak Warisan Sejarah Di Lembah Bujang

SUNGAI PETANI: Sebuah badan bukan kerajaan (NGO) pada Selasa mencadangkan supaya ditubuhkan satu jawatankuasa khas yang turut dianggotai NGO khusus untuk memulihara tapak warisan sejarah di kawasan Lembah Bujang di sini.

Timbalan Presiden Malaysia Hindhudharma Mamandram, DS V. Nandakumar berkata, terdapat banyak kesan peninggalan sejarah termasuk beberapa candi dan pelbagai jenis artifak di Lembah Bujang yang perlu dipulihara.

"Kami meminta kerajaan negeri menubuhkan satu jawatankuasa yang turut dianggotai NGO untuk bekerjasama dengan kerajaan persekutuan (dan agensi berkaitan lain) untuk melindungi kawasan arkeologi ini.

"Kita perlu lindungi kawasan tapak warisan sejarah ini bukan sahaja untuk tujuan pelancongan tetapi juga untuk tujuan pendidikan. Kami juga mencadangkan kerajaan negeri mewujudkan Pusat Kebudayaan Hindu di Lembah Bujang," katanya dalam sidang media, di sini, Selasa.

Turut hadir, penulis buku "Bujang Valley: The Wonder That Has Ancient Kedah", Datuk V Nadarajan.

Susulan itu, katanya satu memorandum berhubung cadangan itu daripada NGO India negeri ini akan dihantar kepada Menteri Besar Kedah dalam tempoh dua minggu lagi untuk dipertimbangkan oleh kerajaan negeri. - BERNAMA

Artikel Lain