suria

Pasukan Khas Bendung Aktiviti Penyeludupan Senjata Api Di Sempadan

KOTA BARU: Polis Kelantan telah menempatkan satu pasukan khas bagi memantau sebarang kegiatan berkaitan penyeludupan senjata api ke negara ini melalui sempadan Malaysia-Thailand dari Tumpat ke Jeli.

Ketua Polis Kelantan Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata, pihaknya turut menjalinkan kerjasama rapat dengan polis Thailand dalam usaha mengurangkan aktiviti jenayah berat menggunakan senjata api.

"Penjualan senjata api seperti didakwa (laporan akhbar) berlaku di Sungai Golok, Thailand dan diluar bidang kuasa Polis Di Raja Malaysia (PDRM). Sempadan Malaysia-Thailand khususnya di Sungai Golok amat luas dan sukar untuk PDRM mengawal sepenuhnya dan tidak dinafikan ada juga senjata api yang bolos.

"Polis Kelantan serius dalam isu berkaitan senjata api dan sepanjang 2013 (Januari hingga November) kita telah merampas sejumlah 31 pucuk pelbagai jenis senjata api termasuk senjata api buatan sendiri dan tiruan yang dipercayai diseludup masuk dari negara jiran," katanya dalam satu kenyataan di sini Isnin.

Jalaluddin mengulas mengenai laporan khas sebuah akhbar tempatan mengenai penjenayah dari negara ini banyak membeli senjata api di pekan Sungai Golok dipercayai bermotif sama ada melindungi aktiviti dadah mereka atau melakukan balas dendam terhadap musuh.

Pemilikan senjata api dalam kalangan penjenayah di Malaysia dilihat semakin membimbangkan ekoran banyak kes-kes tembak yang berlaku dalam tempoh dua tahun lalu. - BERNAMA

Artikel Lain