suria

Empat Sekeluarga Maut Dalam Nahas di Gua Musang

GUA MUSANG: Empat sekeluarga maut manakala dua lagi parah dalam nahas membabitkan dua kenderaan di Kilometer 53.9 Jalan Gua Musang-Kuala Krai pagi Jumaat.

Ketua Polis Daerah Gua Musang Supt Saiful Bahri Abdullah berkata mangsa yang maut merupakan pemandu kereta Toyota Harrier iaitu Wan Mahmud Sabri Wan Idris, 52, isterinya, Nurul Aini Abdullah, 53, anak perempuan mereka Wan Najihah Wan Mahmud Sabri, 10, dan seorang anggota keluarga pasangan itu Zainab Abdullah, 68.

Dua yang parah dan dikejarkan ke Hospital Kuala Krai (HKK) ialah anak perempuan kepada pasangan tersebut iaitu Wan Nadirah, 13, dan pemandu pikap jenis Mazda, Raja Yusoff Raja Ismail, 62, yang berasal dari Pasir Puteh.

Saiful Bahri berkata kejadian berlaku kira-kira 11.30 pagi ketika keluarga terbabit dalam perjalanan pulang dari Kuala Lumpur ke rumah mereka di Kubang Kerian, Kota Baharu.

Beliau berkata kenderaan yang dipandu Wan Mahmud Sabri dipercayai hilang kawalan lalu terbabas dan memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung pikap tersebut yang dalam perjalanan dari Kuala Krai menghala Gua Musang.

Beliau berkata kenderaan Toyota Harrier itu dikatakan berpusing beberapa kali sebelum merempuh kenderaan pikap menyebabkan kedua-duanya terseret ke besi penghadang jalan. "Empat mangsa yang cedera parah di kepala dan badan itu meninggal dunia di tempat kejadian manakala dua yang cedera parah menerima rawatan awal di Pusat Kesihatan Bandar Chiku sebelum di rujuk ke HKK," katanya.

Saiful Bahri berkata keempat-empat mayat mangsa dihantar ke Hospital Gua Musang untuk dibedah siasat sebelum dituntut keluarga mereka untuk dibawa balik ke Kota Baharu.

Sementara itu seorang saksi yang dikenali sebagai Amat Yusoff, 46, berkata keempat-empat mangsa bertindihan dalam kenderaan mereka. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain