suria

Sistem Pemilihan Umno Boleh Dijadikan Contoh - Rais

JELEBU: Sistem pemilihan Umno kali ini yang melalui fasa transformasi membabitkan kira-kira 146,000 perwakilan boleh menjadi contoh bukan sahaja di negara ini malah di dunia, kata Tan Sri Dr Rais Yatim, Penasihat Kerajaan Dalam Hal Ehwal Sosial dan Kebudayaan bertaraf menteri.

Beliau berkata sistem pemilihan yang diperkenalkan kali ini didapati mengikut sistem yang telus dan berunsur demokrasi.

Katanya memang diakui terdapat kelemahan dalam sistem itu sepertimana dapat dilihat dalam pemilihan tiga sayap parti Sabtu lepas terutama dalam soal pengiraan undi dan cara menghantar keputusan ke ibu pejabat Umno tetapi ia adalah kelemahan teknikal dan boleh ditambah baik.

"Faedah sistem pemilihan ini yang mengikut sistem 'electoral college' seperti diamalkan semasa memilih Presiden Amerika Syarikat dan Perdana Menteri Britain adalah ia lebih telus.

"Saya ucapkan tahniah kepada Majlis Tertinggi khasnya Urusetia Umno Malaysia yang telah mengendalikan pemilihan ini mengikut sistem yang telus," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan dan Pemilihan Umno Bahagian Jelebu di Dewan D'Sury, Kuala Klawang di sini, Sabtu.

Rais yang merupakan bekas Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan adalah Ketua Umno Bahagian Jelebu dan tidak mempertahankan jawatannya pada pemilihan kali ini.

Beliau berkata usaha penambahbaikan dalam pemilihan parti itu akan meneguhkan lagi imej Umno.

Dalam pada itu, beliau turut melahirkan kebimbangan jika Fasal 3 Perlembagaan Umno tidak diutamakan untuk menjadi prinsip perjuangan setiap anggota parti. "Masalahnya ialah kita lebih menggembar-gemburkan tentang bilangan ahli tetapi tidak menggembar-gemburkan kualiti," katanya.

Fasal 3, menetapkan tanggungjawab dan matlamat pejuangan Umno sebagai sebuah parti politik yang berjuang mendukung cita-cita kebangsaan Melayu demi mempertahankan maruah agama, bangsa dan negara.

Beliau berkata Umno juga tidak harus segan ataupun lembab dalam menyuarakan kepentingan orang Melayu dalam ekonomi.

"Kita mahu lebih ramai orang Melayu menguasai bidang ekonomi di negara ini.

"Saya juga menyeru setiap ahli Umno termasuk Pemuda, Wanita dan Puteri agar menghayati perjuangan Umno iaitu demi agama, bangsa dan negara. Umno mesti kuat dan teguh dengan prinsip perjuangannya," katanya. -BERNAMA

Artikel Berikut

13 Wanita Ditahan Kerana Berjudi

Artikel Lain