suria

PCA: Kerajaan Sedia Bincang Dengan Jabatan Peguam Negara & Majlis Peguam

KUALA LUMPUR: Kerajaan sedia mengadakan perbincangan dengan pelbagai pihak beberapa aspek penambahbaikan dalam memperbaiki Akta Pencegaham Jenayah (PCA) 2013 yang diluluskan di Parlimen pada awal pagi Khamis.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata bukan mudah untuk memuaskan hati semua pihak dalam PCA namun beliau akan mengadakan perbincangan dengan Jabatan Peguam Negara dan Majlis Peguam bagi meminda klausa tertentu dalam akta berkenaan.

"Beberapa aspek dalam PCA ini jika mahu disesuaikan maka perbincangan akan diadakan, jika mahu PCA ini dipinda kita akan adakan perbincangan dengan Jabatan Peguam Negara dan Majlis Peguam.

"Kita tak nak liht PCA ini dilihat tahan tanpa bicara sepenuhnya kerana saya telah tegaskan kita ada badan pencegah jenayah berkenaan yang menjatuhkan hukuman berkaitan penahanan," katanya kepada pemberita di Lobi Parlimen pada Khamis.

Beliau turut bersetuju dengan tindakan pembangkang yang tidak mahu membawa pelaksanaan PCA ke jalan raya.

"Ia satu pendekatan yang baik. Jangan bawa ke jalan raya kerana saya sangat terbuka untuk perbincangan dalam isu pelaksanaan PCA.

"Kalau PCA tak diluluskan ia juga 'black day' untuk mangsa jenayah," katanya.

Beliau mengakui tiada pihak yang akan berpuas hati 100 peratus dengan keputusan Parlimen meluluskan Rang Undang-Undang Pencegahan Jenayah namun kerajaan akan cuba memuaskan hati majoriti rakyat yang mahu jenayah terancang di negara ini segera ditangani.

"Tiada ada pihak akan puas hati 100 peratus dengan keputusan Parlimen. Kita cuba untuk cuba memuaskan hati majoriti populasi.

"PCA disasarkan kepada jenayah terancang oleh kumpulan kongsi gelap. Majoriti rakyat sokong tapi ada sebahagian yang melihat ia dari sudut perundangan.

"Penahanan ini penahanan pencegahan. Mahkamah Tinggi adalah pihak yang memuktamadkan keputusan penahanan.

"Dulu di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri, Ordinan Darurat menteri ada kuasa mutlak untuk keluarkan arahan tahanan, tapi PCA kuasa menteri telah dikeluarkan," katanya.

Beliau berkata dalam pindaan terbaru PCA tempoh tahanan yang ditetapkan adalah 60 hari berbanding 72 dalam akta sebelum ini.

"Dalam PCA, polis perlu 21 hari untuk siasatan, Jabatan Peguam Negara perlu tambahan untuk lengkapkan kertas siasatan sebelum mereka boleg mendakwan suspek.

"Tempoh tahanan reman dulu 72 hari sekarang 60 hari. Kurang 12hari dalam PCA, " katanya.

Artikel Berikut

Artikel Lain