suria

TPM Minta Pengundi DUN Sungai Limau Beri Kemenangan Kepada BN

MELAKA: Barisan Nasional (BN) meminta para pengundi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau, Kedah, pada 4 November depan agar 'lebih mesra' dengan memberikan kemenangan kepada BN yang kembali menerajui negeri itu selepas pilihan raya umum lepas.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata kerajaan negeri kini dipimpin tokoh muda berkaliber Datuk Mukhriz Mahathir sebagai Menteri Besar yang mampu membawa Kedah menjadi lebih maju.

"Cabaran bagi BN dan Umno di kawasan itu bukan mudah tetapi kita anggap ia sebagai satu cabaran yang perlu kita hadapi dan membantu dalam memberi kemenangan kepada kita," katanya kepada pemberita selepas mengadakan perjumpaan dengan Badan Perhubungan Umno Melaka di Bandar Hilir, di sini, Khamis.

Turut hadir Ketua Menteri Melaka yang juga Pengerusi Umno dan BN Melaka Datuk Idris Haron.

Suruhanjaya Pilihan Raya hari ini menetapkan 4 November sebagai hari pengundian dan 23 Oktober sebagai tarikh penamaan calon pilihan raya kecil DUN Sungai Limau.

Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan kematian penyandangnya bekas Pesuruhjaya PAS Kedah, Tan Sri Azizan Abdul Razak pada 26 September lepas.

Pada pilihan raya umum ke-13 Mei lepas, Azizan yang juga bekas Menteri Besar Kedah memperoleh 13,294 undi menewaskan sepupunya, Mohd Fazillah Mohd Ali dengan majoriti 2,774 undi.

Muhyiddin yang juga Timbalan Presiden Umno berkata calon BN bagi pilihan raya kecil itu kebiasaannya akan diumumkan dua hari sebelum hari penamaan calon setelah pucuk pimpinan BN meluluskan senarai nama calon yang dikemukakan BN Kedah.

Beliau berkata BN Kedah telah diminta mengenal pasti calon yang sesuai dengan perwatakan terbaik, berpengalaman dan mudah diterima masyarakat di situ.

Muhyiddin juga berkata BN akan menggunakan tempoh 10 hari berkempen untuk menerangkan dasar dan perjuangan BN dalam membantu orang Melayu dan Bumiputera serta berjumpa dengan seberapa banyak pengundi.

Sementara itu, ketika diminta mengulas dakwaan segelintir calon mengenai syarat ketat yang dikenakan pada pemilihan Umno, Muhyiddin berkata prosedur yang tersenarai dalam pemilihan itu sebagaimana pemilihan terdahulu sewaktu membanteras politik wang.

"Peraturan dah diguna pakai dulu, dahulu pun tak ada orang komplen...yang paling utama sekali, kita tak mahu unsur politik wang atau pun unsur fitnah, tohmah mengatakan calon yang sana tak sesuai," katanya.

Beliau bagaimanapun berkata calon boleh menggunakan media massa mahupun media sosial untuk memperkenalkan diri kepada perwakilan. BERNAMA

Artikel Lain