suria

Pelabur Terus Yakin Terhadap Malaysia Sebagai Destinasi FDI - PM

NEW YORK: Pelabur terus yakin terhadap Malaysia sebagai destinasi Pelaburan Langsung Asing (FDI), dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menggesa lebih banyak syarikat multinasional Amerika membuka operasi masing-masing di rantau ini di Malaysia, di Greater Kuala Lumpur.

Beliau mahu pelabur Amerika melihat Malaysia dan Greater KL sebagai hab serantau untuk Perniagaan, Inovasi dan Bakat, disokong oleh infrastruktur berkos rendah, keupayaan tinggi serta bertaraf dunia.

"Greater KL penting untuk peluasan berterusan anda di Asia," kata Najib yang juga Menteri Kewangan pada Simposium Pelaburan Global di Kelab Havard New York di sini pada Rabu.

Malaysia mencatat kemasukan US$10.16 bilion FDI pada 2012 dan mengekalkan kedudukannya sebagai penerima FDI ketiga terbesar di Asean, dalam Laporan Pelaburan Dunia 2013 oleh Persidangan Pembangunan dan Perdagangan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNCTAD).

UNCTAD juga meletakkan Malaysia di tangga ke-11 antara 20 ekonomi dengan keuntungan tertinggi FDI.

Simposium yang bermatlamat mempromosi Malaysia, khususnya Greater Kuala Lumpur, destinasi dan peluang pelaburan yang tiada tandingannya kepada pelabur US, dihadiri ahli perniagaan, pelabur dan pemimpin kanan industri US.

Beliau berkata pelabur dalam pasaran Malaysia turut memperoleh manfaat daripada dasar-dasar perlindungan pelabur yang kukuh, yang disahkan berdasarkan ranking Malaysia di tangga keempat dalam Indeks Perlindungan Pelabur - 'World Bank's Doing Business 2013'.

Najib berkata Malaysia juga telah mengambil langkah dalam memastikan keselamatan pelaburan asing Amerika Syarikat merupakan rakan dagang yang penting bagi Malaysia, dengan jumlah dagangan hampir US$40 bilion pada 2012, dengan hubungan dagangan dua hala memihak kepada Malaysia.

US juga ialah rakan dagang keempat terbesar Malaysia pada 2011, kedua terbesar antara 10 negara anggota Asean.

"Kami sudah memulakan aktiviti memandangkan kami yakin sepenuhnya bahawa masa depan Malaysia, dan mungkin masa depan anda, bergantung dengan memanfaatkan potensi yang ditawarkan oleh Malaysia dan Kuala Lumpur, sebagai hab perniagaan AEC, katanya.

AEC, yang dijangka menjadi kenyataan pada 2015, akan menyepadukan kesemua 10 ekonomi Asean menerusi satu pasaran tunggal dengan dagangan, pelaburan dan pengeluaran yang seragam.

Najib berkata beliau berada di sini bagi memperkukuh hubungan kedua-dua negara. Perdana Menteri juga berkata dua tahun akan datang merupakan tempoh yang sangat sibuk dan menarik untuk Malaysia ketika Asean bersiap sedia untuk menjadi kuasa ekonomi dunia.

Beliau berkata usaha Malaysia bagi menyediakan persekitaran mesra perniagaan juga disahkan oleh Bank dunia, yang meletakkan Malaysia dalam ranking ke-12 terbaik di dunia untuk menjalankan perniagaan, menerusi laporan 'Ease of Doing Business 2013'.

Najib berkata Pusat Daya Saing Dunia IMD meletakkan Malaysia pada kedudukan ke-15 dalam Papan Skor Daya Saing Dunia 2013.

Pada 2012, Malaysia menduduki tempat dari 59 negara dari segi kecekapan perniagaan.

Najib tiba di New York pada pagi Rabu selepas menamatkan lawatan kerja ke San Francisco dan menghadiri mesyuarat Majlis Penasihat Sains dan Inovasi Global (GSIAC) ketiga dari 22 hingga 24 September.

Pada Rabu, Perdana Menteri dijadual menyampaikan kenyataan pada mesyuarat peringkat tinggi Perhimpunan Agung Mengenai Pelucutan Senjata dan pada 28 Sept menyampaikan pernyataan negara pada perbahasan umum PBB.

Pada hari yang sama, Najib dijadual menyampaikan ucaptama pada acara Asia Society dan bertemu peserta utama industri dari negara Asean dan Amerika Syarikat pada jamuan tengah hari Majlis Perniagaan US-Asean serta Dewan Perniagaan US.

Najib diiringi isteri, Datin Seri Rosmah Mansor dan beberapa menteri kabinet termasuk Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, dalam lawatan ke San Francisco dan New York dari 22 hingga 29 September. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain