suria

Sultan Selangor Rasmi Pangkalan TLDM KD Sri Tawau

TAWAU: Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah pada Rabu berkenan merasmikan pangkalan dan kompleks pentadbiran Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) KD Sri Tawau yang dibangunkan semula dengan kos RM32 juta.

Selain menandatangani plak, baginda turut menanam pokok di pekarangan bangunan sebagai simbolik perasmian kompleks yang berlatar belakang Teluk Cowie itu.

Pada majlis itu Sultan Sharafuddin yang merupakan Kapten Yang Dipertua TLDM turut mendengar taklimat mengenai sejarah penubuhan KD Sri Tawau dan perkembangannya.

Sementara itu, Panglima TLDM Tan Sri Abdul Aziz Jaafar dalam ucapannya berkata pembangunan semula KD Sri Tawau adalah bagi memenuhi keperluan warga tentera laut, khususnya di daerah ini serta penduduk setempat.

"Ini juga merupakan sebahagian daripada komitmen TLDM dalam meningkatkan operasi di kawasan perairan Sabah Timur. Komitmen TLDM adalah bagi menjamin keselamatan penduduk di sini daripada ancaman terutama di kawasan perairan," katanya.

Beliau juga berharap masyarakat setempat dapat bekerjasama dengan menyalurkan maklumat yang dapat membantu operasi pasukan keselamatan.

"Melalui kerjasama sebegini atau lebih dikenali sebagai 'civilian military cooperation' saya yakin kita akan dapat menyekat segala ancaman musuh dari luar Sabah khasnya dan Malaysia amnya, insya-Allah," katanya.

Pembangunan semula KD Sri Tawau itu bermula 10 Ogos 2009 dan siap pada 18 Julai tahun lepas.

Kompleks itu dilengkapi pelbagai kemudahan termasuk penginapan pegawai dan anggota, dewan, kolam renang, auditorium, bilik kuliah dan surau.

KD Sri Tawau bermula pada Ogos 1963 apabila Royal Malayan Navy menghantar 10 'Junior Ratings' bertugas di Tawau dan ditempatkan bersama-sama dengan tentera British daripada infantri 'The Cordon Highlanders'.

Mereka hanya tinggal di dalam khemah serta dipertanggungjawab mengendalikan dua buah bot.

Junior Ratings ini kemudian disertai dua pegawai dan lahirlah pangkalan sementara yang kemudian dinamakan KD Sri Tawau. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain