suria

Tanah Milik Mardi Bukan Dijual Pada Harga Diskaun

SERDANG: Penjualan tanah milik Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi) yang membabitkan kawasan seluas 107.96 hektar di Jalan Kebun, Klang adalah mengikut harga rizab dan bukannya pada harga diskaun.

Ketua Pengarahnya Datuk Dr Sharif Haron berkata harga rizab yang diletakkan pada RM6.97 sekaki persegi adalah berasaskan penilaian Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta, Kementerian Kewangan.

Pada sidang media di sini hari, beliau berkata kenyataan ini dibuat bagi menafikan laporan akhbar tempatan baru-baru ini bahawa tanah berkenaan dijual sebanyak 58.7 peratus diskaun dari nilai pasaran.

Menurut penilai bebas, Messrs Jones Lang Wootton nilai pasaran tanah itu adalah RM242 juta.

Beliau berkata menerusi tender terbuka, Hala Kota Development Sdn Bhd telah menjadi pembida yang berjaya dengan harga bidaan RM100 juta atau RM8.60 sekaki persegi.

"Pihak Mardi mahu menyatakan sekali lagi bahawa, harga tanah yang dijual kepada syarikat terbabit adalah selaras dengan nilai pasaran yang dinilai oleh jabatan terbabit dan isu diskaun sepatutnya tidak timbul,"katanya.

Jelas beliau Hala Kota Development yang juga merupakan anak syarikat Y&G Corp Bhd telah dipilih berdasarkan status semasa kewangan syarikat itu bagi membangunkan tanah terbabit selain mempunyai pengalaman yang luas dalam sektor hartanah.

Dalam transaksi penjualan tanah yang masih berstatus tanah pertanian itu kepada Hala Tuju Development, beliau berkata proses penjualan itu bakal dimuktamadkan pada 30 September ini.

Beliau turut menjelaskan tanah yang dijual ini telah pun mendapat persetujuan Mesyuarat Lembaga Pengelola Mardi kerana tanah berkenaan tidak mampu lagi dibangunkan kerana kedudukannya yang dikelilingi projek pembangunan perumahan yang rancak. - BERNAMA

Artikel Lain