suria

Dua Sesak Nafas Terhidu Bahan Kimia Pereput Ikan

TUMPAT: Dua wanita mengalami sesak nafas selepas terhidu bahan kimia yang digunakan untuk mereput ikan berhampiran pejabat Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia di Pengkalan Kubor di sini, malam Isnin.

Ketua Pasukan Unit bahan Berbahaya (Hazmat) Jabatan Bomba dan Penyelamat Kelantan Mohd Sabri Ismail berkata dalam kejadian 10.44 malam Isnin, wanita berusia 23 dan 25 tahun itu, sesak nafas dan gatal di muka selepas terhidu gas hidrogen peroksida.

Kedua-dua mereka diberi rawatan di sebuah klinik berhampiran dan keadaan mereka tidak membimbangkan, katanya kepada pemberita di sini Selasa.

Beliau berkata pihaknya menemui 10 tong berisi cecair kimia berkenaan yang lazimnya digunakan untuk mereputkan ikan di tempat kejadian.

Bahan itu akan bertindak balas dengan haba dan kemudiannya meruap dan boleh menjejaskan kesihatan mereka yang menghidunya, katanya.

"Mereka yang terhidunya boleh menyebabkan sesak nafas, kegatalan dan badan menjadi kemerahan," katanya dan menambah, pihaknya telahpun memindahkan tong berkenaan ke tempat selamat. - BERNAMA

Artikel Lain