suria

Kamera AES Akan Digunakan Untuk Kesan Penjenayah - KPN

SABAK BERNAM: Selain mengesan pesalah trafik, polis akan menggunakan kamera-kamera di bawah Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) yang dipasang di beberapa jalan di negara ini untuk mengesan kegiatan jenayah.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, ia mampu dilakukan kerana kamera AES itu diletakkan di kawasan strategik seperti di lampu isyarat dan beberapa tempat di jalan raya dan lebuh raya tertentu.

Beliau berkata demikian kepada pemberita apabila diminta mengulas mengenai peranan PDRM dalam penguatkuasaan AES yang sebelum ini di bawah Jabatan Pengangkutan Jalan.

Mengenai saman trafik, Khalid mengingatkan mereka yang mempunyai saman tertunggak atau sudah dikeluarkan waran tangkap supaya menyelesaikan tunggakan saman masing-masing.

"Bila kami buat operasi di jalan raya dan kami kesan ada waran tangkap, kami tangkap di situ juga," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Kesedaran Jenayah Amanita Peringkat Kontinjen Selangor di Sungai Besar dekat sini, Sabtu.

Beliau turut mengingatkan syarikat-syarikat pengangkutan dan bas untuk menyemak saman pemandu kenderaan mereka bagi mengelakkan perkhidmatan mereka terjejas jika pemandu telah dikenakan waran tangkap.

Mengenai Ops Cantas yang sehingga kini telah menahan lebih 10,000 orang untuk siasatan bagi pelbagai kegiatan jenayah terutama melibatkan kongsi gelap, Khalid berkata ia akan diteruskan.

"Tikus (penjenayah) mungkin lupakan jerat tapi jerat tak pernah lupakan tikus," katanya.

Mengenai program Amanita PDRM, beliau berkata sejak dilancarkan 14 September lepas, pihaknya mendapat maklum balas yang baik daripada badan-badan bukan kerajaan terutama yang mewakili kaum wanita, yang ingin mengadakan kerjasama dengan polis.

Amanita atau 'Peace Lady' yang merupakan satu daripada program di bawah stretegi Lautan Biru kerajaan telah melantik pegawai-pegawai polis wanita untuk berdamping dengan golongan wanita, termasuk suri rumah, dalam usaha membanteras jenayah sehingga ke peringkat akar umbi.

Khalid berkata, Amanita akan menjelajah ke kampung-kampung untuk memberi penjelasan kepada wanita mengenai peranan mereka membantu golongan itu, di samping mendapatkan kerjasama mereka dalam menangani jenayah. - BERNAMA

Artikel Lain