suria

Institut Kanser Akan Beroperasi Dalam Masa Sebulan - Dr Subramaniam

PUTRAJAYA: Bangunan Institut Kanser Negara (IKN) bernilai RM693 juta yang disiapkan dua minggu lebih awal, diserahkan kepada Kementerian Kesihatan pada Rabu, dan dijadual beroperasi dalam masa sebulan.

Menteri Kerja Raya Datuk Fadillah Yusof secara simboliknya menyerahkan replika kunci bangunan itu yang merupakan projek di bawah selian Jabatan Kerja Raya( JKR) kepada Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S. Subramaniam.

Penyerahan itu disaksikan Timbalan Menteri kedua-dua kementerian berkenaan, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin dan Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya.

Pada sidang media kemudian, Dr Subramaniam berkata IKN yang dianugerahi Sijil Perakuan Siap (CPC) pada 16 Ogos (2013), akan beroperasi secara rasmi dalam masa sebulan lagi selepas pemasangan segala sistem moden dan berteknologi tinggi.

Beliau berkata bangunan IKN yang terletak berhampiran Hospital Putrajaya di Presint 7 di sini dilengkapi peralatan komprehensif, canggih dan terkini dalam rawatan serta pengurusan penyakit kanser.

"IKN akan menjadi pusat rujukan untuk rawatan kanser di negara ini. Institut ini akan mempunyai segala kemudahan moden yang diperlukan untuk merawat pesakit kanser," katanya.

Dr Subramaniam berkata sebagai permulaan seramai 20 pakar kanser akan ditempatkan di IKN dengan 400 kakitangan.

Katanya institut itu akan menjadi pusat rujukan berprestij tinggi untuk rawatan kanser yang meliputi perkhidmatan rawatan dan penjagaan pesakit kanser, latihan, penyelidikan dan pencegahan.

Jelasnya, bangunan IKN yang melibatkan pembinaan Nuclear Waste Treatment System yang memenuhi piawaian antarabangsa bagi tujuan pengumpulan dan pembuangan sisa radioaktif yang lebih komprehensif itu dilengkapi 252 buah katil.

Selain itu IKN turut dilengkapi dengan Unit Rawatan Rapi, empat dewan bedah, Unit Rawatan Harian Onkologi dan Klinik Pesakit Luar yang merangkumi Klinik Onkologi, Klinik Perubatan Nuklear dan Klinik Multidisiplinari.

Menurutnya, IKN juga bakal mempunyai sistem ICT menyeluruh atau Total Hospital System (THIS) dengan elemen Sistem Maklumat Onkologi (OIS) yang pertama di negara ini, dan THIS dapat diintegrasikan secara dalam talian dengan dua buah hospital berhampiran iaitu Hospital Putrajaya dan Hospital Serdang untuk memudahkan pengurusan pesakit menerima rawatan.

Dr Subramaniam berkata ketika ini hanya empat hospital kerajaan menyediakan perkhidmatan rawatan kanser iaitu Hospital Kuala Lumpur (HKL), Hospital Sultan Ismail (Johor), Hospital Likas (Sabah) dan Hospital Umum Sarawak.

Pembinaan IKN merupakan cetusan idea Allahyarham Datin Seri Endon Mahmood, isteri bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi pada 2004 yang meninggal dunia akibat kanser payudara setahun kemudian.

Kontraktor Kiara Teratai Sdn Bhd memulakan projek pembinaan IKN itu pada 1 Sept 2010. - BERNAMA

Artikel Lain