suria

Kerajaan Terus Fokus Ke Atas Pembangunan Sosial & Ekonomi - Najib

KUALA LUMPUR: Kerajaan terus fokus ke atas pembangunan ekonomi dan sosial secara terangkum selain program politik dan reformasi yang seimbang.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata Rancangan Malaysia ke-10 memberi keutamaan ke atas 2.4 juta isi rumah, dengan tumpuan khusus kepada wanita, belia dan Orang Asli.

Dalam ucapan penutupan Forum Dasar Global di sini hari ini, Najib berkata antara objektif dasar itu ialah membuka peluang di luar bandar dengan meningkatkan infrastruktur, ekonomi dan kualiti hidup masyarakat luar bandar.

Dasar itu juga digubal bagi menangani kos hidup yang semakin meningkat dan meneruskan usaha menangani kemiskinan tegar dengan membolehkan perusahaan kecil berkembang serta meningkatkan komponen modal insan dengan penekanan kepada pendidikan awal.

"Kerajaan juga berusaha menangani golongan yang tidak mempunyai pendapatan dengan menggalakkan kesaksamaan gender serta pengupayaan. Untuk ini kami menyediakan inisiatif bagi meningkatkan penyertaan wanita dalam barisan pegawai kanan sektor awam dan swasta," kata Perdana Menteri.

Sementara itu, Najib berkata ujian sebenar prestasi negara boleh dilihat semasa berhadapan krisis, seperti yang dialami sejak lima tahun lepas.

"Memang mudah untuk membuat komitmen besar semasa kedudukan ekonomi baik, namun sukar mengekalkannya semasa ekonomi dan politik melalui tekanan sebenar. Bagi Malaysia, kami berdepan situasi itu pada 1997, semasa Asia mengalami krisis kewangan," katanya.

Beliau berkata dalam tempoh itu, Malaysia dan negara jirannya jelas perlu mengukuhkan asas ekonominya.

"Ini sebaliknya menjadikan kita lebih berdaya tahan, dan sedekad kemudian, krisis kewangan mula meletus di US," katanya. Najib berkata dagangan luar yang terus menjadi komponen penting ekonomi, kini seimbang dengan lebih banyak penggunaan domestik, dengan sektor perkhidmatan membuat sumbangan yang lebih ketara kepada keluaran dalam negara kasar.

Beliau berkata sistem perbankan tempatan sudah disepadukan, dirasionalisasikan, dan dimodali semula bagi mengukuhkan daya tahannya, dan pasaran bon Malaysia diperakui sebagai antara pasaran yang paling maju dan dinamik di rantau ini, berkembang 57 peratus sejak 2009.

Najib berkata kerajaan juga membuat perubahan ketara terhadap peranan bank dalam proses pengantaraan, dengan sumbangan yang lebih besar dalam pinjaman runcit dan peniagaan kecil, dan pasaran modal menjadi lebih cekap dalam memenuhi keperluan pembiayaan perbadanan besar.

"Segala perubahan ini telah menyumbang kepada sistem kewangan yang lebih berkesan dengan objektif asas menjadikan ekonomi lebih baik," katanya. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Warga Emas Didakwa Bunuh Suami

Artikel Lain