suria

Semangat Patriotisme Tinggi Semarak Sambutan Kemerdekaan Negara Ke-56

KUALA LUMPUR: Sambutan ulang tahun kemerdekaan negara yang ke-56 di Dataran Merdeka pada Sabtu diadakan dengan penuh kemeriahan, warna warni dan disemarakkan dengan semangat patriotisme tinggi dan penghargaan untuk perajurit negara.

Ribuan rakyat tempatan dan warga asing hadir membanjiri Dataran Merdeka seawal 7 pagi untuk menyaksikan perarakan sambutan tahun ini yang bertemakan "Malaysiaku Berdaulat: Tanah Tumpahnya Darahku".

Sambutan dimulakan sejurus keberangkatan tiba Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah dan Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah pada pukul 8 pagi, yang disambut Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor dan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri Puan Sri Noorainee Abdul Rahman.

Baginda kemudian membuat pemeriksaan Kawalan Kehormat Utama oleh Batalion Pertama Regimen Askar Melayu Diraja dari Kem Sungai Besi yang terdiri daripada empat pegawai dan 103 anggota lain-lain pangkat yang diketuai Mejar Mohamad Abdullah.

Ini diikuti nyanyian Negaraku dan menaikkan Jalur Gemilang serentak dengan 14 das tembakan kehormat yang melambangkan 14 negeri dalam Malaysia oleh 41 bateri rejimen artileri diraja.

Acara diteruskan dengan bacaan ikrar oleh 56 peserta pelbagai kaum yang terdiri daripada pelajar, guru, siswazah, penjawat awam, anggota keselamatan serta orang kelainan upaya. Bacaan ikrar diketuai oleh pelajar dari Sekolah Sultan Alam Shah, Putrajaya, Muhammad Amal Mohd Yadzan.

Berlainan sebelum ini, acara pembarisan dan perarakan tahun ini dikaitkan dengan tema sambutan, yang memberi penghormatan kepada pengorbanan para pejuang menentang pencerobohan di Lahad Datu, Sabah yang mempertahankan kedaulatan negara.

Berkonsepkan Patriotik, Perpaduan dan Kedaulatan Negara, perarakan tahun ini bertujuan menunjukkan bahawa Malaysia adalah negara berdaulat dan rakyat sentiasa sedia mempertahankan kedaulatan negara daripada sebarang pencerobohan.

Seramai 15,280 peserta dari 56 kontinjen menyertai persembahan tahun ini yang melibatkan empat segmen iaitu 'Malaysia Tanah Airku', Kesatuan Rakyat Perpaduan Sejagat, Kemakmuran Negara Kesejahteraan Bersama dan Malaysiaku Berdaulat: Tanah Tumpah Darahku.

Segmen-segmen berkenaan melibatkan persembahan daripada 23 kontinjen kawad, 16 kumpulan pancaragam, aset dari lima badan keselamatan, lima persembahan padang termasuk Skuadron Istiadat Berkuda dan dua persembahan udara melibatkan pesawat pejuang jenis Sukhoi 30MKM, MIG 29 dan FA 18/D Hornet.

Persembahan sokongan Khas Teres Penonton dari Intan dan Felda serta persembahan kereta berhias dari lima sektor swasta dan 15 buah kenderaan Proton juga ditonjolkan.

Hampir 300 aset keselamatan dari Angkatan Tentera Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Angkatan Penguatkuasa Maritim Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Penjara dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia turut dipamerkan.

Penghormatan juga diberi kepada Kontinjen Op Daulat yang terbabit dalam mempertahankan negara dalam insiden pencerobohan pengganas di Lahad Datu, Sabah Mac lepas terdiri daripada 400 anggota pelbagai pangkat dari agensi-agensi penguatkuasa negara.

Turut hadir dan diberi penghormatan ialah 20 keluarga anggota keselamatan yang terkorban semasa Op Daulat.

Kemuncak perarakan hampir tiga jam itu ialah persembahan gayung perang 'war chant' oleh 76 anggota pasukan elit 69 komando yang juga terlibat mempertahankan kedaulatan negara di Lahad Datu.

Perarakan diakhiri dengan kawad oleh pasukan-pasukan keselamatan, pertunjukan kelengkapan ketenteraan dan persembahan pasukan Gerak Cepat ATM. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain