suria

Malaysia Tidak Terikat Dengan Tempoh Masa Ditetapkan Bagi TPPA - Kabinet

KUALA LUMPUR: Malaysia tidak akan terikat dengan sebarang tempoh masa yang ditetapkan berkaitan dengan Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA).

Pada satu mesyuarat khas yang diadakan hari ini, Kabinet mengambil pendirian ini kerana sejumlah besar isu, termasuk perusahaan milik negeri (SOE) atau syarikat berkaitan kerajaan, buruh dan Hak Harta Intelektual (IPR), masih belum diselesaikan. Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) berkata dalam satu kenyataan, ia memaklumkan Kabinet bahawa perbincangan dengan semua pemegang kepentingan akan dipertingkatkan lagi sebelum memuktamadkan perundingan TPPA.

Miti ketika ini sedang berbincang dengan pelbagai pemegang kepentingan tentang format dan rangka kerja rundingan seterusnya.

Kabinet sangat menyokong ketelusan yang lebih tinggi dalam proses rundingan itu.

Mesyuarat itu merupakan sebahagian daripada proses berterusan Miti untuk memaklumkan perkembangan terkini dan mendapatkan mandat baharu daripada Kabinet mengenai TPPA.

Menurut Miti, semua perunding utama daripada pelbagai kementerian memaklumkan kemajuan masing-masing dalam rundingan itu dan cabaran mendatang.

"Perdana Menteri dan Kabinet mengarahkan perunding untuk terus memastikan kedaulatan Malaysia dipertahankan semasa rundingan TPPA. "Mereka sebulat suara dalam mengukuhkan pendirian Malaysia yang kita hanya akan bersetuju kepada TPPA bagi terma-terma yang paling baik kepada negara," kata Miti.

Kabinet juga bersetuju bagi dua lagi Analisis Manfaat Kos (CBA).

Ia akan menumpukan kepada kepentingan Perusahaan Kecil dan Sederhana dan komuniti perniagaan Bumiputera serta analisis menyeluruh bagi kepentingan negara. "Kedua-dua CBA itu akan menyediakan input tambahan bagi perunding kita," kata Miti.

Ia juga berkata bagi isu IPR, Kabinet sebulat suara bahawa Malaysia tidak bersetuju dengan sebarang cadangan yang akan menafikan akses kepada perubatan dan penjagaan kesihatan mampu milik.

"Kabinet bertegas dalam memastikan akses kepada perubatan mampu milik kekal sebagai keutamaan paling utama, yang tidak akan dikompromikan dalam rundingan TPPA yang sedang berlangsung. "Ia juga memberi perhatian kepada permintaan untuk mengecualikan tembakau dan produk tembakau daripada TPPA," kata Miti. -BERNAMA

Artikel Lain