suria

Peguam Didakwa Tipu Lelaki Babitkan RM2.3 Juta

PETALING JAYA: Mahkamah Sesyen di sini pada Selasa menetapkan 4 Julai depan untuk sebutan kes seorang peguam yang dituduh menipu seorang lelaki membabitkan RM2.3 juta dua tahun lalu.

Leng Kok Ooi, 60, bersama seorang lagi yang telah dituduh Gabriel Youshua a/l Moses, 55, didakwa menipu Chang Chin Fooi, 42, untuk mempercayai geran tanah GM5909, Lot 950, 4th Miles Batu Road Mukim Batu di sini adalah sah.

Berikutan itu dia mendorong mangsa membuat pembayaran RM2,395,640 sebagai cagaran untuk pembelian tanah itu. Leng yang tidak diwakili peguam didakwa melakukan kesalahan itu di 815 Jalan 16/11, Off Jalan Damansara, Blok E, Phileo Damansara 1, Seksyen 16, di sini, pada 4 November hingga 28 Disember 2011.

Dia didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat serta denda, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Zhafran Rahim Hamzah menawarkan jaminan RM200,000 dengan seorang penjamin dan memohon agar pasport tertuduh diserahkan pada mahkamah.

Bagaimanapun, Leng merayu supaya jaminan terhadapnya dikurangkan kepada RM5,000 kerana menanggung keluarga.

Hakim Abu Bakar Manat kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM50,000 dengan seorang penjamin dan mengarahkan pasport Leng diserahkan kepada mahkamah. - BERNAMA

Artikel Lain