suria

Tiga Termasuk Pesakit Jantung Cedera Ambulans Kemalangan

MUAR: Tiga orang termasuk seorang pesakit jantung cedera apabila ambulans yang mereka naiki terlibat dalam satu kemalangan di Bakri di sini awal Sabtu.

Dalam kejadian pada kira-kira pukul 9.45 pagi, pemandu ambulans, pembantu perubatan dan pesakit itu terpaksa dikeluarkan oleh orang ramai daripada ambulans yang terbalik itu setelah dikatakan dirempuh sebuah Toyota Camry di persimpangan lampu isyarat Jalan Pintas-Jalan Bakri.

Ambulans tersebut dalam perjalanan membawa pesakit berusia 50an itu dari Hospital Pakar Putra, Batu Pahat untuk dirujuk ke Hospital Pakar Putra, Melaka manakala kereta Toyota Camry itu dalam perjalanan dari arah bandar Muar ke Bakri.

Ketika kejadian, tayar belakang Toyota Camry itu dikatakan meletup menyebabkannya terbalik.

Seorang saksi Abdullah Sariman, 76, yang tinggal berhampiran tempat kejadian menceritakan, dia terdengar dentuman kuat dan melihat sebuah ambulans terbalik dengan siren kecemasan masih berbunyi.

Dia bersama menantunya, Salihin Jaafar, 37, dan pengguna jalan raya lain segera membantu mengeluarkan mangsa dengan mengumpil pintu ambulans itu.

Katanya, kesemua mangsa dibawa ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah di sini dengan sebuah kenderaan Jabatan Pertahanan Awam.

Pemangku Ketua Polis Daerah Muar, Superintendan Shahadan Jaafar ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut. - BERNAMA

Artikel Lain