suria

Tragedi Pilihan Raya...

PAKISTAN sepermana kita di Malaysia, juga berhadapan dengan pilihan raya umum. Bezanya mereka seminggu lewat daripada kita.

Kita dah selesai Ahad lalu, mereka akan mengundi Sabtu ini.

Malangnya, pilihan raya di Pakistan bagaikan satu tragedi. Tragedi kerana di sana sejak kempen bermula sebulan yang lalu, sudah 110 orang terbunuh atau dibunuh atas perbezaan ideologi, fahaman dan perbezaan etnik.

Beberapa orang calon turut menjadi mangsa pembunuhan.

Yang terbaru, anak kepada bekas Perdana Menteri Pakistan, Ali Haider Yousuf Raza Gilani yang juga merupakan seorang calon mewakili parti bapanya Pakistan People's Party (PPP) telah diculik.

Tidak cukup dengan itu, puak Taliban yang mengeluarkan fatwa bahawa pemilihan melalui pilihan raya adalah tidak Islamik telah mengugut yang mereka akan mengebom tempat-tempat strategik di seluruh negara sekiranya pemilihan diteruskan juga Sabtu ini.

Dalam perkembangan yang berkaitan, keluarga Gilani yang merupakan keluarga paling berpengaruh di wilayah Punjab iaitu salah satu negeri di Pakistan turut mengugut yang mereka tidak akan mengizinkan pilihan raya berlangsung di kawasan yang dikuasai keluarga mereka seandainya Ali Haider tidak dikembalikan.

Pendek kata, segala-galanya kini huru-hara di Pakistan - sebuah negara yang ketika mencapai kemerdekaan dahulu sangat-sangat menghormati proses demokrasi.

Tidak ada pihak setakat ini yang mendakwa bertanggungjawab ke atas penculikan Ali Haider.

Bagaimanapun polis mengesahkan yang setiausaha sulitnya, terbunuh dalam serangan untuk menculiknya itu.

Pilihan raya Sabtu ini dilihat sebagai sesuatu yang penting kerana inilah buat pertama kalinya Pakistan melalui proses pemilihan semula kerajaan tanpa ada sebarang percubaan merampas kuasa.

Kerajaan sebelum ini di bawah pimpinan PPP telah berjaya mengharungi penggal selama lima tahun tanpa sebarang rampasan kuasa - sesuatu yang amat jarang berlaku sejak akhir-akhir ini di Pakistan yang separuh daripada sejarahnya diwarnai dengan rampasan kuasa oleh pihak tentera.

Namun ancaman daripada puak Taliban kini nampaknya telah menganti ancaman daripada panglima tentera.

PPP yang kini dipengerusikan oleh anak kepada bekas Perdana Menteri Benazir Bhutto iaitu Bilawal Bhutto Zardari, terlalu muda dan mentah untuk berhadapan dengan ancaman baru yang mengancam kestabilan negaranya.

Dia yang menyaksikan bagaimana ibunya mati dibunuh kini dikatakan menyembunyikan diri demi keselamatan dirinya sendiri.

Pemimpin Taliban, Hakimullah Mehsud secara peribadi telah mengeluarkan perintah supaya pusat-pusat mengundi diserang Sabtu ini dalam usaha untuk menakut-nakutkan pengundi daripada keluar mengundi.

Belum pernah dalam sejarah Pakistan arahan supaya mengebom pusat dan daerah mengundi dilakukan secara terang-terangan oleh satu puak yang tidak bersetuju dengan yang lain.

Kini demokrasi Pakistan benar-benar tercabar dan berada di persimpangan jalan.

Kembali di negara kita, Alhamdulillah, proses pilihan raya kita telah pun selesai tanpa sebarang insiden yang tidak diingini.

Tetapi kita juga sedang berhadapan dengan satu bahaya dan ancaman baru iaitu seruan supaya protes ke atas keputusan pilihan raya kita di bawa ke jalanan atas dakwaan wujudnya penipuan.

Kita tertanya-tanya bagaimanapun bentuk penipuan itu berlaku kerana pihak yang dituduh itu bukanlah menang besar malah ada beberapa buah negeri jatuh di tangan pihak yang menuduh pula.

Ironinya, di negeri-negeri yang pihak yang menuduh itu menang, tidak pula dipersoalkan bagaimana pihak yang dituduh itu boleh kalah.

Ancaman baru ini telah pun bermula pada malam Rabu di Stadium Kelana Jaya, selangor dan Sabtu ini akan bermula pula protes di jalanan dan juga di tempat awam secara amnya.

Kita hanya mampu bermohon agar protes untuk mempertikaikan keputusan pilihan raya ini tidak membawa kepada bencana besar seperti huru-hara dan sebagainya apatah lagi semua ini menjurus ke arah ketidakpastian dan keresahan di kalangan rakyat yang mahu meneruskan kehidupan normal seperti biasa.

Ini kerana rakyat telah pun membuat keputusan mereka tetapi nampaknya keputusan majoriti tidak kiralah besar atau kecil enggan dihormati.

Pendek kata kita tidak mahu Malaysia berakhir sepertimana Pakistan - perpecahan dan pertelingkahan membawa kepada kematian dan ancaman kepada sebuah negara yang merdeka dan demokrasi.

Sudahlah...Cukuplah.

Artikel Sebelum

Artikel Lain