suria

Pembangkang Mesti Terima Keputusan PRU-13 - Pemimpin BN

KUALA LUMPUR: Pembangkang diharap dapat menerima keputusan pilihan raya umum ke-13 (PRU-13) yang menyaksikan rakyat memberi mandat baharu kepada pimpinan Barisan Nasional (BN) untuk menerajui negara bagi tempoh lima tahun akan datang. Beberapa pemimpin tertinggi BN, ketika mengulas kemenangan parti gabungan itu, berharap seluruh masyarakat menghormati amalan demokrasi yang menjadi pegangan di negara ini sejak sekian lama.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Noh Omar berkata keputusan PRU13 menunjukkan negara aman dan mengamalkan demokrasi dengan sebaiknya.

"Kita boleh terima apa juga keputusan yang rakyat buat, dan diharapkan pakatan pembangkang juga menerima keputusan ini.

"Pilihan raya ini adalah adil kerana ada (calon) BN kalah dan menang, jadi dakwaan demokrasi tiada dalam negara adalah sangkaan jahat yang sengaja dibangkit pihak tertentu," katanya kepada pemberita selepas majlis merai kejayaan BN membentuk kerajaan Persekutuan di Pusat Dagangan Dunia Putra malam Ahad.

BN memenangi 133 daripada 220 kerusi Parlimen setakat 3 pagi pada PRU-13.

Ketua Pergerakan Pemuda BN Khairy Jamaluddin pula berkata meskipun BN tidak mencapai majoriti dua pertiga, kemenangan itu membolehkan BN memerintah dengan selesa untuk lima tahun akan datang.

"Yang penting, kita teruskan agenda transformasi Datuk Seri Najib (Tun Abdul Razak). Kita jangan berhenti di sini, kita teruskan dan insya-Allah, kita buktikan kepada rakyat bahawa amanat yang kita dapat hari ini tidak disia-siakan," katanya yang mengekalkan kerusi Parlimen Rembau.

Ketua Wanita BN Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata beliau akan mengetuai golongan itu untuk 'penyatuan negara' seperti yang disaran Najib bagi menyatukan semula semua kaum.

"Kita nampak dah trend 'extremism' yang dibawa oleh pembangkang, dan ini membimbangkan. Perkara pertama yang saya perlu lakukan ialah membawa Wanita untuk penyatuan negara yang Datuk Seri Najib katakan," katanya.

Presiden Parti Progresif Penduduk (PPP) Datuk Seri M.Kayveas berkata keputusan itu membuktikan rakyat menyokong kestabilan politik di negara ini, meskipun berlaku tsunami undi Cina. -BERNAMA

Artikel Lain