suria

Golongan Belia Dinasihat Tidak Terlibat Dengan Rusuhan Dirancang Pembangkang 5 Mei Ini

MUAR: Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Razali Ibrahim mengingatkan golongan belia agar tidak terlibat dengan rancangan pihak pembangkang untuk menimbulkan bantahan jika kalah dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) Ahad ini.

Razali yang juga calon parlimen Muar berkata, golongan ini perlu menghormati sistem politik di Malaysia yang mengamalkan demokrasi dalam memilih kerajaan.

Beliau berkata demokrasi dan perlembagaan yang diamalkan di negara ini sejak sekian lama adalah sistem terbaik dan bukannya memilih kerajaan melalui revolusi, demonstrasi atau tunjuk perasaan dalam kalangan rakyat.

"Kita kena ikut dengan sistem dan pilih secara demokrasi kerana itu suara sebenar, kalau kita buat rusuhan dalam keadaan ada hak mengundi dan memilih kerajaan, ini maknanya kita sudah merosakkan negara kita.

"Lainla kalau mereka ini tidak diberikan hak. Jadi buatlah pilihan di peti undi. Hormati hak orang lain yang mengundi. Kepada generasi muda bawah 40 tahun yang mengundi, pilihlah kerajaan melalui demokrasi dan bukan demonstrasi," katanya ketika ditemui selepas beramah mesra dengan para pengundi awal di Perumahan Polis Muar di sini, Selasa.

Beliau diminta mengulas perancangan kepimpinan tertinggi Parti Keadilan Rakyat (PKR) akan menggerakkan para pengikutnya terutama orang muda untuk merusuh yang didakwa akan diketuai oleh Adam Adli Abd. Halim pada hari pembuangan undi nanti.

Adam Adli, 24, adalah individu yang menurunkan bendera tertera gambar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di ibu pejabat UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) ketika perhimpunan haram pada 17 Disember 2012 dan kini digantung pengajian selama tiga semester.

Katanya, golongan muda termasuk mereka yang tidak berdaftar sebagai pengundi akan bertindak rasional kerana mereka didedahkan dengan banyak sumber maklumat untuk menilai dan patuhi sistem sedia ada.

Naib Ketua Pemuda UMNO itu berkata, mereka yang berniat menimbulkan huru hara pada hari pembuangan undi perlu sedar belanja untuk mengadakan PRU-13 adalah besar dan jika berlaku kejadian itu, ia akan merugikan negara.

Artikel Lain