suria

Pembangkang Tiada Modal Bangkit Isu Tak Balik Kawasan - Razali

MUAR: Calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Muar, Datuk Razali Ibrahim menyifatkan isu tidak balik kawasan yang dilemparkan pembangkang sebagai tiada modal.

Beliau yang juga Naib Ketua Pergerakan Pemuda Umno berkata, pembangkang kawasan tersebut tiada cara lain untuk memburukkan namanya selain menggunakan isu tersebut.

"Mereka sengaja membangkitkan perkara ini kerana tiada isu tentang saya yang boleh mereka besarkan.

"Dalam ceramah-ceramah mereka juga mereka akui saya tidak rasuah tetapi bersekongkol dengan orang rasuah, maknanya mereka juga tidak berani sentuh saya," ujarnya selepas Program Santai Mesra Bersama Masyarakat Tiong Hua, di sini.

Turut hadir calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Maharani Datuk Zulkhairi Ahmad.

Beliau berkata, hampir setiap minggu beliau pulang bagi menjalankan program-program kemasyarakatan di seluruh pelusuk kampung di Muar.

"Macam mana mereka kata saya tidak balik kampung kerana setiap minggu ada sahaja program di sini. Muar ini besar ada lebih 125 buah kampung dan jika saya balik setiap minggu saya tidak dapat pergi ke tempat yang sama.

"Ketua kampung pun kita tidak boleh jumpa hari-hari, di pejabat pun kita tidak jumpa bos kita hari-hari, pendek kata mereka tiada isu sebenarnya," katanya.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Belia dan Sukan menganggap biarpun pelbagai jawatan yang dipikulnya dalam kerajaan dan Umno namun tidak pernah mengabaikan tanggungjawab sebagai wakil rakyat kawasan tersebut yang disandangnya sejak 2004.

"Saya banyak tanggungjawab lain tapi saya ada masa balik kawasan daripada mereka yang tiada apa-apa jawatan tapi tidak buat apa-apa untuk kawasan.

"Apa beza mereka duduk di sini tapi tidak pernah menampakkan muka dengan saya yang duduk ditempat lain tapi selalu jumpa," katanya.

Tambah Razali, penduduk sendiri akan menghukumnya jika benar dia tidak balik kawasan dan tidak menjalankan tanggungjawab sebagai wakil rakyat selama ini.

"Kalau saya tidak balik kawasan tentu saya takut nak jumpa masyarakat macam sekarang kerana mereka sendiri bijak dan pandai menilai.

"Tapi apa yang saya lihat sokongan pengundi semakin meningkat terutamanya pengundi Cina yang lebih banyak berbanding pilihan raya 2008 lalu," katanya.

Artikel Berikut

Artikel Lain