suria

Kerajaan BN Sudah Lama Bantu Belia - Ahmad Shabery

PUTRAJAYA: Kerajaan Barisan Nasional (BN) sudah memberi tumpuan kepada belia sejak dahulu dengan menyediakan pelbagai kemudahan serta bantuan untuk memajukan golongan itu.

Justeru kata Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, hasrat PAS untuk menangguhkan Festival Belia Putrajaya 2013 semata-mata untuk menyalurkan peruntukan bagi pembangunan ekonomi belia tidak relevan.

Kalau mereka ikhlas hendak membantu belia, PAS patut berbuat demikian di negeri yang mereka tadbir tapi mereka tidak melakukannya, katanya kepada pemberita di sini, Khamis.

Calon BN yang juga penyandang kerusi Parlimen Kemaman itu mengulas kenyataan calon PAS bagi kerusi Parlimen Putrajaya Datuk Husam Musa yang pada satu sidang media hari ini berkata PAS akan menangguhkan festival itu dan memanfaatkan peruntukan untuk memajukan belia jika mereka menang di Putrajaya.

Mengulas lanjut, Ahmad Shabery berkata peruntukan untuk festival itu datang daripada semua pihak termasuk kementerian lain dan kebanyakan kos membabitkan aktiviti belia ditanggung swasta. Sementara itu, calon BN yang juga penyandang kerusi Parlimen Putrajaya Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata kenyataan Husam jelas menunjukkan PAS tidak mesra belia.

"Dia cakap sebab dia tak tahu apa-apa, jadi belia perlu menilai perkara itu dengan sebaiknya dan tolak calon seperti itu," katanya.

Sambutan Festival Belia Putrajaya 2013 dijadual berlangsung dari 23 hingga 26 Mei ini. -BERNAMA

Artikel Lain