suria

Manifesto Pakatan Pembangkang Selangor Tampil Janji Baru

SHAH ALAM: Pakatan pembangkang di Selangor malam Khamis melancarkan manifesto untuk pilihan raya umum ke-13 (PRU13) dengan janji-janji baru termasuk bantuan wang tunai RM500 kepada pasangan yang melangsungkan perkahwinan kali pertama.

Manifesto itu juga berjanji meneruskan program Skim Mesra Usia Emas serta memberi hadiah hari jadi berupa wang tunai RM100 kepada mereka yang berusia genap 60 tahun. Manifesto itu turut menjanjikan pengwujudan Biasiswa Menteri Besar untuk pelajar ijazah lanjutan dengan bon kerajaan negeri sebagai usaha membentuk sebuah Bank Pemikir Negeri Selangor.

Janji-Janji ini terkandung dalam manifesto PRU-13 bertema 'Manifesto Pakatan Rakyat Selangor Meneruskan Kecemerlangan' yang dilancar di Dataran Kemerdekaan di sini.

Manifesto pakatan pembangkang Selangor kali ini mengandungi empat teras iaitu Ekonomi Rakyat, Kesejahteraan Rakyat, Rakyat Menerusi Aktiviti Keagamaan dan Kebudayaan serta Kerajaan Rakyat.

Antara lain, mereka berjanji mempertingkat kecekapan memproses urusan pemilikan tanah serta meneruskan tawaran bagi pemilikan geran tanah persendirian kepada pemohon yang layak, termasuk mereka yang menghuni lebih 12 tahun.

Ia juga berjanji mengusaha dan memperluas 'Polis Komuniti' yang dibiayai kerajaan negeri, memberi pemeriksaan percuma kanser testis dan prostat untuk kaum lelaki. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain