suria

Belum Penamaan Calon Tapi Dah Ada Kejutan Di Kelantan

KAPAL terbang, kunci, buku, burung, kerusi, pen, bunga dan pokok antara 30 simbol yang digazetkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi mewakili calon yang mahu bertanding atas tiket bebas.

Salah satunya sudah pun menjadi pilihan seorang warga emas dari Kampung Batu Balai, di Kuala Krai iaitu Md Nasir Ahmad yang mengesahkan akan bertanding sebagai calon bebas di Dewan Undangan Negeri (DUN) Guchil pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).

Bekas guru yang berusia 65 tahun itu dilaporkan sebagai individu kedua menawarkan diri menjadi calon bebas di DUN berkenaan.

Individu pertama adalah Ketua PAS cawangan Guchil Hulu (Kuala Krai), Muhamad Bustaman Yaacob.

Berita mengenai anggota PAS di kubu kuat PAS di Kelantan mahu jadi calon bebas merupakan satu kejutan yang tidak disangka.

Kerusi DUN Guchil kini disandang oleh Tuan Zamri Ariff Tuan Zakria dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang menewaskan Dr Shamsul Ikhwan Ashari Azmi dari Barisan Nasional (BN) dengan majoriti 1,000 undi pada 2008.

Guchil adalah salah satu dari empat DUN di bawah Parlimen Kuala Krai selain Mengkebang, Manek Urai dan Dabong.

Dilaporkan keputusan Muhamad Bustaman itu dibuat selepas ramai anggota PAS di peringkat akar umbi yang mahukan beliau bertanding di DUN tersebut.

Laporan turut menyatakan tindakan Muhamad Bustaman itu kerana tidak puas hati dengan Tuan Zamri Ariff yang dikatakan gagal menepati semangat Pakatan Rakyat.

Jika Johor merupakan kubu kuat BN, begitu juga dengan Kelantan yang umum mengetahuinya sebagai kubu kuat PAS yang memerintah negeri itu sejak 23 tahun lalu.

PKR parti sekutu Pakatan Rakyat hanya memenangi DUN Guchil - satu-satunya kerusi yang dimenangi PKR di Kelantan daripada keseluruhan 45 kerusi DUN.

Timbul cakap-cakap bahawa kehadiran calon bebas yang akan bertanding di Guchil disebabkan PAS kawasan berkenaan kurang senang dengan kerusi DUN yang terus diberikan kepada PKR pada pilihan raya kali ini.

Sama ada benar atau tidak, jawapan hanya ada pada Pakatan Rakyat yang akan mengumumkan calon DUN itu.

Jalan mudah untuk bertanding

Nyata sudah ada dua calon Bebas untuk merebut kerusi yang sama, dan jika ia menjadi kenyataan, DUN Guchil bakal menyaksikan pertembungan empat penjuru antara calon Bebas, calon BN, calon Bebas dari PAS dan calon PKR sendiri selaku penyandang kerusi itu.

Seperti Datuk Ibrahim Ali sendiri merupakan Ahli Parlimen Bebas di Pasir Mas tetapi beliau pada asalnya memenangi kerusi itu atas tiket PAS pada pilihan raya umum 2008.

Mengenai tindakan Muhamad Bustaman yang mahu bertanding sebagai calon Bebas, ternyata mengecewakan Tok Guru yang merupakan Menteri Besar dan Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

"Kalau orang sini tanding Bebas, DAP juga akan tanding Bebas kalau dia tak setuju bagi kerusi kepada orang PAS. Apa erti kita berjemaah," kata Tok Guru.

Jika sebelum ini senario 'lompat parti' berleluasa dalam medan politik di negara ini, kini muncul pula isu anggota parti yang mahu menjadi calon Bebas atas sebab-sebab tertentu.

Persepakatan sebenarnya antara kunci utama bagi Pakatan Rakyat terutama PAS untuk terus memerintah negeri Cik Siti Wan Kembang ini.

Masih belum jelas apakah PAS negeri akan membiarkan ahli mereka masuk gelanggang sebagai calon Bebas tanpa sebarang tindakan disiplin.

Jika dibiarkan samalah seperti memberi lampu hijau untuk anggota parti di tempat lain pula bertindak sesuka hati jika kehendak tidak dipenuhi.

Utamakan Kepentingan Rakyat

Calon Bebas ini kebiasaannya tidak berpihak pada kerajaan yang memerintah mahu pun pembangkang.

Namun kini timbul ahli parti yang bertindak menjadi calon Bebas selepas tidak dipilih untuk bertanding atau tiada peruntukan kerusi untuk parti bagi memberi laluan kepada sekutu.

Bagi mereka yang bertanding berpaksikan perasaan tidak puas hati, pastinya keadaan akan menjadi huru-hara sekiranya mereka dipilih.

Namun berbeza dengan alasan Md Nasir yang berkata bahawa beliau pernah mencuba memperbetulkan apa yang tidak kena dalam masyarakat sebelum ini tetapi tidak dihiraukan.

Apa pun jua alasan konkritnya, Md Nasir memilih untuk menggunakan lambang kapal terbang sebagai simbol mewakili calon Bebas pada PRU-13.

Bagaimanapun, ia hanyalah simbol yang mewakili calon Bebas buat beliau tetapi tumpuan adalah pada keputusan Muhamad Bustaman untuk bertanding atas satu lagi tiket Bebas, sama ada ia sebagai satu pilihan terdesak atau itu saja pilihan yang ada.

Ini kerana mereka yang "bebas" ini boleh sahaja bertanding atas tiket BN atau PAS mahu pun PKR sekiranya diberikan lampu hijau daripada pucuk pimpinan parti berkenaan.

Sebagai contoh, Ibrahim Ali sendiri yang nekad akan mempertahankan kerusi Parlimen Pasir Mas yang dimenanginya pada pilihan raya umum 2008.

Bagaimanapun beliau baru-baru ini berkata: "Atas tiket apa saya akan bertanding itu tunggulah hari penamaan calon atau sebelum hari itu."

Walaupun enggan membuat sebarang spekulasi selagi ia tidak diumumkan tetapi beliau berkata, sekiranya dipilih bertanding atas tiket BN, sudah tentu ia merupakan penghormatan besar buat dirinya yang mahu terus berbakti kepada pengundi Pasir Mas.

Ibrahim Ali yang selama ini dilihat pro-BN hanya membiarkan teka-teki berterusan sama ada beliau diberikan lampu hijau oleh Pengerusi BN yang juga Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak atau terus kekal sebagai calon Bebas.

Artikel Lain