suria

Buruh Binaan Didenda RM1,500 Kerana Cederakan & Ugut Kakak

KUALA LUMPUR: Seorang buruh binaan pada Jumaat didenda RM1,500 oleh Mahkamah Majistret di sini selepas mengaku bersalah menyebabkan kecederaan dan mengugut kakaknya pada minggu lepas.

Majistret Erry Shahriman Nor Aripin mengenakan hukuman denda RM500 atau penjara sebulan terhadap C. Kobby Shankar Nath bagi kesalahan menyebabkan kecederaan manakala RM1,000 atau penjara tiga bulan bagi kesalahan mengugut.

Kobby Shankar Nath, 30, didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap C. Kunawathy, 34, di sebuah rumah di PPR Desa Rejang, Setapak Jaya, Sentul di sini pada 6 pagi 5 April lepas.

Dia didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Kobby Shankar Nath juga dituduh mengugut kakaknya pada tempat, masa dan tarikh sama mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Mengikut fakta kes, Kobby Shankar Nath ke rumah mangsa dalam keadaan marah dan mabuk untuk mengambil barang tetapi telah memecahkan barang dan memukul mangsa menggunakan tembikar dan patung batu sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan. Dia juga mengugut akan menculik anak, membakar kereta dan mencederakan rakan mangsa, sekiranya mangsa membuat laporan polis dan dia dikenakan tindakan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Kee Wei Lon. -BERNAMA

Artikel Lain