suria

Pelantikan Pengerusi ESSZONE Satu Tanggungjawab Besar - Musa Aman

SANDAKAN: Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman menyifatkan pelantikannya sebagai pengerusi Zon Selamat Sabah Timur (ESSZONE) satu tanggungjawab besar dalam memastikan keamanan dan kesejahteraan rakyat di Sabah terus dipelihara.

Beliau yakin dengan sokongan semua pihak, tugas itu dapat dilakukan dengan baik dan seperti yang diharapkan oleh kerajaan dan rakyat.

"Saya terharu dan berterima kasih atas kepercayaan diberikan kepada saya sebagai pengerusi ESSZONE oleh Perdana Menteri.

"Saya akan berusaha untuk menjalankan tugas seperti yang diharapkan dan percaya dengan sokongan semua pihak, kita dapat lakukan terbaik untuk Sabah dan penting Sabah terus berada dalam keadaan aman, selamat dan sejahtera," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Simulasi Pilihan Raya Umum Umno Bahagian Libaran di sini, Selasa.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada Isnin mengumumkan pewujudan ESSZONE meliputi 10 daerah sebagai memberi asas perundangan kepada Eastern Sabah Security Command (ESSCOM).

Daerah yang terlibat adalah Kudat, Kota Marudu, Pitas, Beluran, Sandakan, Kinabatangan, Lahad Datu, Kunak, Semporna dan Tawau.

ESSZONE akan dipengerusikan oleh Ketua Menteri dan dibantu seorang ketua pegawai eksekutif dan anggota jawatankuasa yang akan diumum kelak.

Musa berkata, pewujudan ESSZONE merupakan inisiatif kerajaan dan dikehendaki oleh perdana menteri untuk memastikan Sabah terus dalam keadaan aman, sejahtera dan rakyatnya dapat terus menjalankan tugasan dalam keadaan biasa.

"Sebagai rakyat Sabah, kami bersyukur dan terima kasih (kerana) punya seorang pemimpin yang peka dan sedar apabila kita kehendaki, beliau (Najib) terus mengambil tindakan sewajar dan sebaiknya untuk memastikan rakyat Sabah dalam keadaan selamat dan terpelihara," kata Musa. - BERNAMA

Artikel Lain