suria

Euromobil Lancar Hibrid Audi 46

KUALA LUMPUR: Euromobil Sdn Bhd, anak syarikat DRB-HICOM Group dan pengimport rasmi serta pengedar tunggal Audi di Malaysia, melancarkan model hibrid Audi A6 terbaharu, sekali gus menyaksikan kemasukan Audi terkini dalam segmen kereta eksekutif dan mewah atasan.

Pelancaran itu menandakan satu lagi sejarah untuk industri kereta di sini kerana hibrid Audi A6 menggabungkan dua dunia terbaik kecekapan enjin empat silinder dengan prestasi enam silinder dan menambah satu lagi lembaran kepada kisah kejayaan Audi A6.

Kereta itu telah dilancarkan oleh bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Turut hadir ialah pengarah urusan kumpulan DRB-HICOM dan pengerusi Euromobil Datuk Seri Mohd Khamil Jamil.

Dalam ucapannya, Mohd Khamil berkata pengenalan Audi A6 di Malaysia adalah bukti kepada sokongan Audi kepada usaha negara ke arah mengadakan kenderaan yang cekap dari segi penggunaan tenaga dan komitmennya dalam mengguna pakai teknologi hijau dalam industri kereta.

"Dengan pengenalan A6 di Malaysia, kami berharap langkah-langkah yang diambil untuk menggalakkan pelaksanaan teknologi hijau canggih dalam industri kereta akan membantu negara menjadi setaraf dengan rakan negara jiran yang lain dan lebih berdaya saing di peringkat global," kata beliau.

Mohd Khamil berkata kumpulan berazam agar dapat diiktiraf di dalam negara sebagai peneraju dalam penggunaan sistem pemanduan elektrik dalam segmen premium dengan keupayaan jarak jauh dan pelepasan sifar, menggabungkan pemanduan dinamik yang boleh meningkatkan pengalaman pengguna.

Mohd Khamil berkata Euromobil telah mencapai 40 peratus pertumbuhan dalam jualan kereta-kereta Audi tahun lepas.

Model hibrid A6 itu boleh dibeli dari harga RM280,000 di jalan raya tanpa insurans dan sedia untuk dipandu uji di semua bilik pameran Euromobil. BERNAMA

Artikel Lain