suria

Polis Buru Sepasang Suami Isteri Kes Bunuh Pembantu Restoran

SHAH ALAM: Polis sedang memburu sepasang suami isteri berhubung kes bunuh seorang pembantu restoran warga Indonesia dalam kejadian Jumaat lepas di Pangsapuri Valencia, Taman Sri Muda di sini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor SAC Mohd Adnan Abdullah berkata pasangan suami isteri itu dipercayai suspek kes bunuh terhadap mangsa yang dikenali sebagai Parsini, 26, yang ditemui berlumuran darah di sebuah bilik pangsapuri berkenaan.

"Kita percaya kejadian berpunca dari perselisihan faham di antara mangsa dan pasangan suami isteri terbabit, yang juga merupakan teman serumah mangsa," katanya di Pusat Media Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di sini Isnin.

Beliau berkata suspek terbabit dikenali sebagai Winda Sari manakala identiti suaminya masih belum dikenalpasti, melarikan diri bersama tiga anak mereka termasuk berumur tiga bulan selepas kejadian bunuh itu.

Katanya, polis percaya pasangan yang masing-masing berumur 20-an dan berasal dari Indonesia itu masih berada di sekitar Lembah Klang.

Mohd Adnan berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Dalam kejadian pada 15 Februari lepas, mangsa mati akibat cedera parah di bahagian kepala dan belakang badan setelah dipukul dengan senjata tumpul.

Mangsa dipercayai sudah meninggal dunia dalam tempoh empat atau lima jam sebelum mayatnya ditemui.

Sementara itu, mengulas mengenai dakwaan di beberapa laman sosial termasuk Facebook mengenai kejadian simbah asid terhadap beberapa wanita di Shah Alam, Subang Jaya dan Damansara, Mohd Adnan berkata polis tidak menerima laporan berhubung perkara itu.

"Berkemungkinan ia hanya khabar angin dan sekiranya benar kita minta kerjasama mangsa tampil membuat laporan di balai polis berhampiran," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Xenophon Berat Sebelah - Ku Nan

Artikel Berikut

Artikel Lain