suria

Perjuangan Pembangkang Celaru - Muhyiddin

MUAR: Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan perjuangan pakatan pembangkang kini semakin bercelaru dan tiada kesepakatan termasuk dalam isu penggunaan kalimah Allah sehingga menyebabkan berlaku perbalahan sesama mereka.

Katanya keadaan itu jauh berbeza dengan Barisan Nasional (BN) yang terbukti jitu memperjuangkan pembangunan rakyat sejak memegang tampuk pemerintahan negara lebih 50 tahun lalu.

"Jangan terpengaruh dengan dakyah pembangkang yang bergaduh sesama sendiri. Sekarang ni (Mursyidul Am PAS) (Datuk) Nik (Abdul) Aziz (Nik Mat) pun dah boleh pergi ke rumah Karpal Singh (Pengerusi DAP), semata-mata untuk ucap selamat hari jadi. PAS dah makin celaru tidak macam dulu.

"Rakyat pun dah semakin tidak faham dengan perjuangan pembangkang yang bercelaru. Yang benar berjuang untuk rakyat kini adalah UMNO dan BN," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada program Sembang Santai Bersama Masyarakat Kampung Sungai Alai dan Sungai Ranggam, Panchor, dekat sini yang turut dihadiri oleh Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Serampang Datuk Tahir Taat dan Adun Jorak Datuk Dr Shaharuddin Salleh.

Sementara itu, Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran menyangkal dakwaan pembangkang kononnya projek Hab Pendidikan Tinggi Pagoh adalah satu pembohongan dan hanyalah tipu helah kerajaan menjelang pilihan raya.

Sebaliknya, beliau menegaskan projek yang akan menaikkan nama Pagoh sebagai lembah ilmu itu dijangka siap dalam tempoh dua tahun setengah lagi yang sekali gus akan melonjakkan ekonomi setempat dengan menyediakan banyak peluang perniagaan dan pekerjaan.

"Ini bukan helah pilihan raya, projek ini telah dimulakan pun...apabila sudah siap kelak, ibu bapa akan hantar anak-anak di sini, seterusnya bagi peluang ekonomi. Ini akan ubah kehidupan orang Pagoh," katanya. BERNAMA

Artikel Lain