suria

Kerajaan BN Pimpinan Najib Amat Prihatin Kepada Rakyat Sabah - Musa

TAWAU: Kerajaan Barisan Nasional (BN) pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najub Tun Razak adalah kerajaan yang begitu prihatin dan memahami keperluan rakyat Sabah, kata Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman.

Beliau berkata bukti keprihatinan Najib boleh dilihat melalui peruntukan Kerajaan Persekutuan bernilai lebih RM7 bilion kepada Sabah tahun lalu untuk memenuhi keperluan pembangunan dan kesejahteraan rakyat.

"Oleh sebab itu kita perlu berterima kasih. Saya sendiri berterima kasih kepada Perdana Menteri kerana pada tahun 2012 Sabah diberi peruntukan lebih RM7 bilion untuk pembangunan. Satu jumlah yang besar. Perdana Menteri sedar Sabah ialah negeri kedua terbesar di Malaysia.

"Perdana Menteri sedar Sabah perlukan peruntukan lebih besar untuk membangunkan negeri Sabah," katanya ketika berucap pada majlis rumah terbuka Tahun Baru Cina anjuran Datuk Mary Yap Kain Ching di dewan Kolej Vokasional Tawau di sini Selasa.

Mary Yap merupakan bekas Pengetua Cemerlang SM Teknik Tawau (kini Kolej Vokesional Tawau) juga pernah menerima Anugerah Maulidur Rasul peringkat kebangsaan atas pelbagai pencapaian cemerlangnya menerusi kerjaya pendidikan.

Musa berkata di bawah kepimpinan Najib, tidak ada rakyat dipinggirkan sebaliknya mendapat bantuan kerajaan di manapun mereka berada sama ada di darat dan di pulau, tua, muda, pelajar semua mendapat nikmat daripada pembangunan negara.

Katanya Perdana Menteri bersama rakan Kabinetnya beserta kepimpinan negeri sentiasa bekerja keras dengan memperkenal dan melaksanakan banyak dasar, program dan inisiatif yang keseluruhannya berfokus kepada pembangunan negara dan kesejahteraan rakyat.

Menurut Musa, kerajaan BN tidak mengatakan yang bukan-bukan atau menjanjikan bulan bintang seperti pembangkang, sebaliknya BN sentiasa mengotakan janjinya kepada rakyat.

"Saya percaya rakyat Sabah sangat bijak untuk menentukan masa depan mereka. Kita berfikir untuk masa depan. Kita merancang untuk masa depan anak-anak kita," katanya. -- BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain