suria

Lelaki Tiba Dari Malaysia Didakwa Bawa Dadah

MELBOURNE: Tiga cubaan membawa masuk dadah kawalan dengan kuantiti komersial secara haram ke Australia digagalkan pihak berkuasa.

Dalam kejadian pertama seorang lelaki rakyat Australia berusia 32 tahun ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Adelaide dan pihak Kastam menemui 14.3 kg ephedrine dalam satu daripada bagasinya.

Lelaki yang tiba dari Kuala Lumpur pada Sabtu itu dihadap ke Mahkamah Majistret Adelaide pada Isnin atas dakwaan mengimport dadah kawalan dengan kuantiti yang boleh dipasar, lapor Australian Associated Press.

Dalam operasi berasingan, kakitangan kemudahan mel antarabangsa Sydney mengesan ubat batuk dan selesema ContacNT seberat 3.3 kg dalam bungkusan yang dihantar dari Poland pada Isnin.

ContacNT mengandungi kadar pseudoephedrine yang tinggi.

Pada Selasa pula, pihak Kastam merampas pakej kargo udara dari China yang mengandungi empat kg dadah yang sama. Pseudoephedrine dan ephedrine adalah bahan kimia yang diguna untuk meghasilkan bahan-bahan jenis amphetamine seperti methamphetamine.

Hukuman maksima untuk kesalahan mengimport bahan-bahan itu dengan kuantiti yang boleh dipasarkan ialah 15 tahun penjara dan/atau denda sehingga A$510,000. -BERNAMA

Artikel Lain